WILAYAH - SELATAN > BERITA

Prestasi Perdagangan Negara Bagi Tempoh Tujuh Bulan Naik Kepada RM1.731 Trilion

02/09/2025 06:12 PM

SEREMBAN, 2 Sept (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2025 mencatatkan peningkatan 4.7 peratus atau RM1.731 trilion berbanding RM1.65 trilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata daripada jumlah tersebut nilai dagangan eksport mencatatkan RM900.47 bilion dan import (RM830.16 bilion) dengan lebihan dagangan berjumlah RM70.32 bilion.

Beliau berkata prestasi itu selari dengan trajektori pertumbuhan perdagangan negara pada 2024 dengan jumlah perdagangan mencecah nilai tertinggi baharu sebanyak RM2.879 trilion iaitu naik 9.2 peratus berbanding 2023.

“Eksport negara pada tahun lepas melebihi jumlah RM1 trilion selama empat tahun berturut-turut iaitu meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Nilai import juga mencatatkan peningkatan sebanyak 13.2 peratus kepada RM1.37 trilion menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion untuk tahun ke-27 berturut-turut sejak 1998,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Eksport Negeri Sembilan yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mansor Shah Wahid.

Sementara itu, Mohammad Medan berkata bagi prestasi perdagangan Negeri Sembilan bagi 2024, ia mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM19.27 bilion iaitu peningkatan sebanyak 3.3 peratus berbanding 2023 dengan nilai eksport sebanyak RM1.03 bilion.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, Negeri Sembilan turut mencatat nilai eksport sebanyak RM880 juta iaitu peningkatan ketara sebanyak 10.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Selain itu, melalui dana fasilitasi eksport seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG), Dana Eksport Perkhidmatan (SEF) dan eTrade, 200 syarikat Negeri Sembilan mendapat manfaat dengan geran berjumlah RM1.5 juta dari 2024 hingga Julai lepas.

Hasil daripada bantuan berkenaan, syarikat terlibat berjaya menjana jualan eksport berjumlah RM672.18 juta.

Sebanyak 95 program promosi eksport dan 1,835 padanan perniagaan dianjurkan MATRADE dari 2024 hingga Julai lepas dengan 72 pengeksport Negeri Sembilan juga berjaya menjana jualan sebanyak RM191.64 juta.

Setakat 31 Julai, sebanyak 13,314 syarikat Malaysia berdaftar dengan MATRADE dengan 315 adalah dari Negeri Sembilan.

Beliau berkata 20 syarikat Negeri Sembilan yang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) tahun lepas berjaya merekodkan jualan eksport bernilai RM4.29 juta manakala 15 syarikat menyertai Program Penyumberan Antarabangsa MIHAS 2024 dan menjana potensi jualan eksport berjumlah RM44.7 juta.

Sementara itu, Aminuddin berkata Malaysia perlu mencari peluang prestasi dagangan ke negara luar dan tidak menumpukan hanya satu negara bagi mengembangkan lagi produk usahawan tempatan ke luar termasuk ke Afrika, Brazil dan Amerika Selatan.

“Kita harap selepas ini bilangan pengeksport terus bertambah khususnya bagi usahawan tempatan di Negeri Sembilan. Ini medium terbaik yang disediakan MATRADE untuk pergi lebih jauh sekali gus menyumbang kepada eksport negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan