WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perancis Beri Amaran Pelan Pemindahan Penduduk Gaza "Jalan Buntu"

02/09/2025 08:37 PM

ISTANBUL, 2 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran lewat Isnin bahawa sebarang pelan pembinaan semula Gaza yang melibatkan pemindahan paksa penduduk akan menjadi “jalan buntu”, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Bersama-sama, kami menegaskan penentangan tegas terhadap sebarang pelan pembinaan semula Gaza yang melibatkan pemindahan paksa penduduknya atau meletakkan wilayah itu di bawah pentadbiran amanah.

“Cadangan sedemikian, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, hanya akan membawa kepada jalan buntu,” tulis Macron di platform media sosial X milik Amerika Syarikat (AS) selepas perbualan telefonnya dengan Raja Jordan Abdullah II.

Macron memberi jaminan bahawa beliau sedang berkoordinasi rapat dengan Raja Abdullah II dalam persiapan bagi Persidangan Penyelesaian Dua Negara pada 22 Sept untuk merumuskan “perspektif harapan yang boleh dipercayai” bagi rantau itu, “mampu menangani aspirasi sah kedua-dua pihak Israel dan Palestin.”

“Kami juga menegaskan semula bahawa serangan darat Israel ke atas Bandar Gaza tidak boleh diterima, dan tindakan terburu-buru ini hanya akan membawa kepada konflik tanpa penghujung. Keamanan tidak lahir daripada runtuhan - ia dibina atas asas keadilan dan maruah,” katanya lagi.

Beliau turut mengulangi keperluan untuk gencatan senjata berkekalan, pembebasan semua tebusan, penghantaran besar-besaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, serta penyelesaian politik yang mampan.

“Dua bangsa, dua negara: inilah satu-satunya jalan ke arah masa depan yang aman,” tambah Macron.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan