WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GE Aerospace Komited Labur US$75 Juta untuk Pertingkat MRO, Keupayaan Baiki Enjin Di Asia Pasifik

04/09/2025 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- GE Aerospace telah mengumumkan rancangannya untuk melabur sebanyak US$75 juta (US$1=RM4.21) bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kemudahan pembaikan komponennya di rantau Asia Pasifik (APAC) hingga akhir 2025.

Dalam satu kenyataan, pembekal enjin pesawat itu berkata pelaburan itu akan membiayai sel ujian enjin tambahan, peralatan baharu dan teknologi canggih termasuk teknik pemeriksaan dikuasakan kecerdasan buatan.

"Penambahbaikan ini bertujuan untuk mengurangkan masa pemulihan untuk pelanggan dan meningkatkan keupayaan pembaikan komponen di kemudahan MRO GE Aerospace," katanya.

Lebih-lebih lagi, matlamatnya adalah untuk memastikan kemudahan MRO dalam sektor penerbangan APAC yang semakin berkembang mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan kukuh untuk perkhidmatan di pangkalan terpasang GE Aerospace dan CFM International, jumlah pelaburan tahun lepas adalah US$45 juta.

CFM International adalah syarikat usaha sama 50/50 antara GE Aerospace dan Safran Aircraft Engines.

“Sebahagian besar pelaburan APAC akan menyokong projek utama di Singapura dan Malaysia, tapak baik pulih utama GE Aerospace di Asia, memfokuskan pada enjin CFM56 dan enjin CFM Leap,” katanya.

Di Malaysia, GE Aerospace berkata pelaburan itu akan menyokong rancangan pengembangan untuk kerja MRO pada enjin CFM56 dan enjin CFM Leap, menambah kapasiti MRO enjin Leap dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Peralatan dan sistem termaju, beroperasi pada piawaian keselamatan dan kualiti yang terkemuka dalam industri akan dilaksanakan di kemudahan baharu kami.

“Kemudahan ujian enjin yang canggih, menggunakan perisian dan perkakasan terkini khusus untuk enjin Leap 1A dan 1B juga akan diperkenalkan,” katanya.

Selain itu, ia berkata peralatan tambahan akan dipasang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, selain daripada program latihan untuk pekerja baharu dan inisiatif peningkatan kemahiran untuk pasukan semasa serta usaha untuk menambah baik operasi fasiliti karbon bersih.

Fasiliti MRO GE Aerospace membantu memastikan lebih 49,000 enjin pesawat komersial terbang di seluruh dunia termasuk kira-kira 3,800 enjin komersial yang beroperasi di APAC dengan lebih daripada 2,700 pekerja di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan