WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sepak Takraw Dipertandingkan Di Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia Di Turkiye

05/09/2025 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Sukan sepak takraw bakal melakar sejarah apabila disenaraikan sebagai acara pertandingan pada Sukan Kurang Upaya Pantai Dunia di Mersin, Turkiye, dari 18 hingga 25 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata penyertaan itu dimaklumkan melalui undangan rasmi yang diterima daripada Ketua Operasi temasya berkenaan, Elin Luce, pada 14 Julai lepas.

“Selain Thailand, ISTAF menyarankan Malaysia, Indonesia, Laos, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan sebagai antara tujuh atau lapan negara peserta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berkata setakat ini penganjur hanya mengesahkan penyertaan Thailand, Indonesia dan Laos.

Sehubungan itu, katanya ISTAF akan menubuhkan jawatankuasa kecil khas bagi menggalakkan negara ahli menubuhkan pasukan sepak takraw kurang upaya masing-masing.

“Bagaimanapun, kami masih berusaha mengusahakan penyertaan Korea Selatan, Filipina dan Taiwan, sekali gus memerlukan kerjasama ISTAF dan ASTAF, termasuk dengan Malaysia,” katanya.

Abdul Halim turut yakin dapat menjalin kerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi membolehkan pasukan sepak takraw kurang upaya negara turut serta dalam temasya itu.

 

Sepak takraw berubah suai (adaptif) akan dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu:

TKR1: Atlet kudung kaki sebelah atas lutut dan menggunakan kaki prostetik atau alat imbangan.

  • TKR2: Atlet kudung kaki sebelah bawah lutut, memakai satu kaki prostetik atau menggunakan peralatan untuk membantu imbangan, menghidap atrofi otot, polio atau memiliki panjang kaki tidak seimbang lebih lima sentimeter.

  • TKR3:Atlet kudung satu lengan bawah siku, mengalami anomali sejak lahir, kekejangan otot dan pergelangan tangan dan otot lengan lemah, atrofi berbgabung dengan polio.

  • Tiga acara turut dipertandingkan iaitu Lengan (semua pemain cacat sebelah lengan), Campuran 1 (seorang pemain cacat sebelah kaki bersama dua pemain sebelah lengan cacat), serta Kuadran Campuran (dua pemain cacat sebelah kaki dan dua pemain sebelah lengan cacat lengan).

    -- BERNAMA


    BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

    Ikuti kami di media sosial :
    Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
    Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
    Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
    TikTok : @bernamaofficial

    © 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan