LAHAD DATU, 6 Sept (BERNAMA) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta semua syarikat telekomunikasi meningkatkan kapasiti rangkaian terutama di kawasan berisiko banjir, bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
MCMC memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir.
"Syarikat telekomunikasi juga perlu menyediakan bekalan kuasa sokongan termasuk penjana elektrik (genset) dan sistem hibrid suria seperti di Kampung Sapagaya di sini yang berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut," menurut kenyataan MCMC sempena tinjauan pengoperasian menara telekomunikasi oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Kampung Sapagaya, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Terdahulu, Fahmi meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau dan mendengar taklimat serta melihat sendiri mekanisme pengoperasian menara berkenaan, yang memberikan kemudahan komunikasi terbaik kepada penduduk setempat.
MCMC memaklumkan tinjauan diadakan bagi menguji kualiti liputan komunikasi di kampung berkenaan serta menilai prestasi dan tahap kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan komunikasi dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
Lima syarikat telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL beroperasi menggunakan menara telekomunikasi Kampung Sapagaya yang siap dibina pada 2000.
Ujian kualiti liputan komunikasi lima syarikat telelomunikasi melalui aplikasi MCMC Nexus menunjukkan menara komunikasi terbabit mampu menyediakan capaian kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, sekali gus memanfaatkan 3,800 penduduk sekitar.
Setakat 31 Julai tahun ini, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah mencapai 95.3 peratus , peningkatan ketara berbanding 73.4 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial