WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Indonesia Bincang Isu Telekomunikasi Dua Minggu Lagi - Fahmi

06/09/2025 03:31 PM

LAHAD DATU, 6 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia akan membincangkan isu berkenaan telekomunikasi melibatkan dua negara itu, dalam mesyuarat kerjasama yang bakal diadakan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat yang dijadual di Kota Kinabalu itu akan diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Mesyuarat ini akan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan rakan sejawat daripada agensi di Indonesia. Antara perkara akan dibincangkan ialah isu telekomunikasi yang berlaku di Pulau Sebatik, Tawau,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sembang Santai Komuniti MADANI di Kampung Cocos di sini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

Fahmi berkata pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk di Pulau Sebatik tentang isu telekomunikasi di pulau berkenaan.

“Masalah yang dibangkitkan ialah berlaku limpahan signal telekomunikasi dari negara jiran selain daripada beberapa isu spektrum. Pihak MCMC akan meneliti perkara ini.

“Ada beberapa cadangan awal yang akan dilaksanakan dalam bulan ini melibatkan repeater, namun ia belum mencukupi kerana itu hanya penyelasaian sementara,” katanya.

Fahmi berkata liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah yang kini telah mencapai 95.30 peratus dapat dipertingkatkan lagi, melalui pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Banyak daripada menara di bawah program ini akan siap pada hujung tahun ini, dan kita jangkakan secara purata di seluruh negara mungkin liputan Internet di kawasan berpenduduk akan mencapai 98.6 peratus.

“Jadi untuk mencapai 100 peratus kita tidak hanya bergantung kepada pembinaan menara biasa, kerana kosnya tinggi selain masalah lain seperti tanah yang memakan masa. Jadi saya arahkan dalam JENDELA fasa dua untuk gunakan pelbagai teknologi bersesuaian mengikut kawasan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan