WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Faisal Halim Tidak Disenaraikan Berdepan Palestin, Masalah Peribadi

06/09/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Pemain sayap Faisal Halim terpaksa menarik diri daripada skuad Harimau Malaya  bagi menhadapi aksi persahabatan Tier 1 menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Isnin ini.

Ketua jurulatih Peter Cklamovski mengesahkan perkara itu dengan menjelaskan pemain yang mesra disapa Mickey itu berdepan masalah peribadi selain mengalami kecederaan kecil di bahagian lutut.

“Beliau berdepan situasi peribadi yang kita hormati dan pada masa sama mengalami sedikit masalah lutut.

“Berdasarkan keadaan itu, keputusan terbaik adalah tidak bersama pasukan ketika ini supaya beliau dapat memberi tumpuan kepada persiapan diri, di dalam dan luar padang, dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Cklamovski berkata penarikan diri pemain Selangor berusia 27 tahun itu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kesejahteraan diri.

“Faisal seorang profesional sejati dan menjadi inspirasi kepada negara. Saya yakin beliau akan terus kekal begitu. Sebagai pasukan kebangsaan, kami memberi sokongan penuh kepadanya dan akan terus melakukannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril dikatakan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.

Menerusi hantaran di Instagram Story dipercayai miliknya, Nur Syazwani menyatakan keputusan itu bukan mudah namun terpaksa dibuat selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga gagal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan