WILAYAH - SELATAN > BERITA

Santuni MADANI: Masjid Kampung Terentang Siap Hujung Tahun

07/09/2025 03:28 PM

KUALA PILAH, 7 Sept (Bernama) -- Masjid Kariah Kampung Terentang yang pernah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 1962, bakal tampil dengan wajah baharu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Naik taraf masjid berusia 63 tahun itu dengan kapasiti sehingga 700 jemaah adalah sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di bawah kendalian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata usaha murni pembinaan masjid melibatkan kos RM2.2 juta selain Balai Raya Kampung Terentang baharu melibatkan kos kira-kira RM400,000 turut dibina.

"Masjid ini dijangka dapat digunakan tahun depan, penduduk juga boleh menunaikan solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri nanti, manakala pembinaan balai raya itu bagi menggantikan bangunan lama yang uzur dan hampir roboh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Raya Kampung Terentang bersempena Program Santuni MADANI, di sini hari ini.

Azam yang merupakan anak jati Kampung Terentang berkata program Santuni MADANI sebagai inisiatif melibatkan ketua-ketua jabatan bagi menambah baik infrastruktur di kampung masing-masing sekali gus memperkukuh hubungan antara penjawat awam dengan komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang terpilih bagi program Sekolah Angkat MADANI dan pihaknya akan memasang 16 unit penghawa dingin bernilai RM100,000.

"SPRM turut mengambil inisiatif untuk membantu Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor dan juga beberapa sekolah lain dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI antaranya SK Padang Lebar dan SMK King George V," katanya.

Azam berkata selain kerja naik taraf infrastruktur bangunan, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan golongan memerlukan di kampung tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan