WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lima Lelaki Ditahan Terbabit Kes Pecah Rumah Di Miri

07/09/2025 06:30 PM

KUCHING, 7 Sept (Bernama) -- Polis Miri menahan lima lelaki tempatan berumur antara 32 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Abelia, Luak Bay, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan laporan mangsa yang merupakan sepasang suami isteri, mereka hanya menyedari rumah telah dipecah masuk ketika pulang ke kediaman kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

“Antara barangan yang hilang ialah 17 unit jam tangan pelbagai jenama, dua utas rantai emas, tujuh utas gelang emas, tiga bentuk cincin emas, tiga telefon bimbit, dua komputer riba, beberapa botol minyak wangi, dokumen peribadi serta wang tunai RM30,000 dengan keseluruhan dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, pasukan siasatan berjaya menahan semua suspek pada hari yang sama di sekitar bandar Miri dan merampas sebahagian barangan curi, manakala usaha mengesan baki barangan masih diteruskan.

"Semakan rekod lampau turut mendapati empat daripada lima suspek mempunyai sejarah jenayah melibatkan kes kecurian, pecah rumah serta penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman hingga 10 Sept bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan