WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan 10 Keldai Akaun Di Meradong

07/09/2025 06:35 PM

SARIKEI, 7 Sept (Bernama) -- Polis menahan 10 keldai akaun di daerah Meradong dari awal tahun ini hingga Khamis lepas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes penipuan dalam talian melibatkan transaksi kewangan ke dalam akaun bank mereka.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

Beliau berkata kesemua mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, serta denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kesemua keldai akaun ini merupakan orang tempatan, bukan setakat penduduk di rumah panjang dan kampung, tetapi juga ada yang tinggal di pekan Bintangor. Kebanyakan mereka menyewakan akaun dengan kadar RM500," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong mengadakan program ceramah pencegahan jenayah komersial di bawah projek RMK12 Majlis Daerah Meradong dan Julau di Rumah Edmund Labang, Sungai Tulai, Bintangor.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, pegawai daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang dan lebih 80 penduduk tempatan, serta penerangan khususnya mengenai penipuan dalam talian disampaikan oleh Sarjan Zaini Abdullah dan Lans Koperal Muhammad Akmal Jamaludin.

Objektif utama program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dan memberikan pendidikan kepada orang awam tentang bahaya jenayah komersial serta tanggungjawab bersama dalam mencegah penipuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan