WILAYAH - TIMUR > BERITA

JAPEN Kelantan Perluas Hebahan Penghargaan SARA Kepada Masyarakat

07/09/2025 08:29 PM

KOTA BHARU, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JAPEN) Kelantan memperluaskan hebahan mengenai pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan rakyat benar-benar memahami syarat kelayakan dan cara menebus bantuan berkenaan.

Pengarah JAPEN Kelantan Muhd Aswadi Mohd Nor berkata meskipun inisiatif itu diumumkan kerajaan sejak 31 Ogos lepas, masih ramai rakyat yang kurang mengetahui mekanisme pelaksanaan itu.

“Berdasarkan tinjauan di lapangan, kami dapati rakyat sebenarnya amat teruja dengan pengumuman ini sehingga sistem tebusan di pasar raya dan kedai terpilih terpaksa ditambah baik kerana permintaan sangat tinggi. 

“Justeru, JAPEN Kelantan bersama agensi kerajaan lain mengambil tanggungjawab ini untuk memberi maklumat yang tepat serta jelas melalui media sosial, hebahan bersemuka dan unit bergerak Input On Wheels (IOW),” katanya selepas program sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata kempen mengenai SARA turut dilaksanakan sepanjang HKHM 2025 termasuk 135 program anjuran JAPEN Kelantan bagi memastikan tiada golongan sasaran tercicir daripada menikmati inisiatif berkenaan.

Bantuan SARA yang disalurkan secara sekali beri melalui MyKad bermula 31 Ogos itu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

SARA diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 yang boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan