WILAYAH - TIMUR > BERITA

AIM Komited Sediakan Kemudahan Kewangan Patuh Syariah

07/09/2025 09:24 PM

TANAH MERAH, 7 Sept (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) komited untuk memperluaskan  perkhidmatan Ikhtiar Ar-Rahnu di seluruh negara bagi menyediakan kemudahan kewangan mikro patuh syariah yang dilindungi takaful.

Pengarah Urusannya Datuk Mohamed Shamir Abd Aziz berkata Ikhtiar Ar-Rahnu menawarkan pembiayaan sehingga 75 peratus atau maksimum sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan serendah 90 sen sebulan.

"Perkhidmatan ini berteraskan sistem gadaian patuh syariah serta dilindungi oleh takaful, malah individu yang disenarai hitam juga layak untuk membuat gadaian.

"Ia menjadi bukti komitmen kami untuk menyediakan kemudahan kewangan mikro patuh syariah yang mampu membantu anggota, sahabat AIM dan masyarakat untuk menguruskan keperluan kewangan harian tanpa membebankan," katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran cawangan Ikhtiar Ar-Rahnu pertama di Tanah Merah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Shamir berkata pihaknya juga akan memperluaskan perkhidmatan Ar-Rahnu ke seluruh negara melalui cawangan-cawangan AIM dengan sasaran membuka lima lagi yang baharu dalam tempoh tiga tahun.

"Cawangan Tanah Merah ini adalah yang pertama, kita jangka akan membuka dua atau tiga cawangan lagi di kawasan yang bersesuaian di sini sekiranya terdapat permintaan terhadap perkhidmatan ini.

"Ahli bukan sahaja mendapat akses kepada kemudahan pembiayaan, malah turut sama menikmati pulangan daripada keuntungan perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata AIM sentiasa menyokong serta memberi kepercayaan penuh kepada Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) untuk mengurus, melaksanakan dan memperkukuhkan pelbagai bentuk perniagaan yang dijalankan bersama AIM serta rakan strategik, demi memastikan kelangsungan dan daya saing koperasi.

"KKAIMB juga turut melaksanakan tabung kebajikan, kematian dan iIat bertujuan melindungi pembiayaan yang dikeluarkan oleh AIM kepada Sahabat AIM,  pembekalan, perladangan dan hartanah sebagai sumber pendapatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan