BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

City2Surf Di Sydney: Kenangan Sukar Dilupakan

08/09/2025 10:46 AM


From Megat Amir Irham Ahmad Mahidin

Setiap Ogos, bandar raya Sydney menjadi meriah “lain macam” dengan  kehadiran puluhan ribu pelawat asing dari pelbagai negara yang datang untuk menyertai City2Surf, acara larian ria tahunan terbesar di dunia.

Bukan sekadar larian, tetapi lebih kepada meraikan kecergasan dan kesatuan komuniti selain memantulkan gaya hidup masyarakat Sydney yang unik.

Tahun ini, penulis antara kira-kira 90,000 peserta yang mengambil bahagian dalam acara larian sejauh 14 kilometer itu, meliputi jarak dari CBD (pusat perniagaan Sydney) yang hiruk-pikuk dengan aktiviti komersial ke pantai terkenal dunia Bondi Beach.

Sejak kali pertama diadakan 50 tahun lalu, acara yang bertujuan mengumpul dana ini berkembang dan kini amat popular. Menurut laman web City2Surf, edisi terkini pada 10 Ogos lalu yang dianjurkan The IRONMAN Group Oceania, berjaya mengumpulkan lebih A$4 juta dan memberi manfaat kepada badan kebajikan tempatan seperti Australian Cancer Research Foundation serta Starlight Children’s Foundation.

Disebabkan oleh popularitinya itulah penerbangan tambang rendah jarak jauh Malaysia, AirAsia X memilih menjadi rakan kongsi City2Surf, mengiktiraf program sebagai satu cara unik menggabungkan sukan dan pengembaraan. Syarikat itu telah menjadi rakan kongsi rasmi program sejak tiga tahun lalu di bawah perjanjian semasa.

 

ACARA UNTUK SEMUA 

Larian City2Surf terbahagi kepada beberapa kategori, namun jarak 14 kilometer itu terpakai buat semua peserta tanpa mengira usia dan keupayaan, menjadikan acara tersebut bukan sahaja mencabar tetapi juga menyeronokkan serta inklusif.

Atlet profesional yang mengintai tempat teratas serta hadiah wang tunai perlu mendaftar dalam kategori Elite Runner, sementara peserta yang hanya mahu membantu mengumpul dana bagi tujuan kebajikan boleh berlari dalam kategori Charity Superstar.

pic-2

Bagi yang sekadar ingin menikmati pengalaman, kategori Fun Run (Orange Wave) terbuka kepada semua, termasuk peserta yang berkerusi roda ataupun ibu bapa dengan anak-anak kecil di dalam kereta sorong.

Setiap kategori ditetapkan waktu bermula yang berbeza. Misalnya, Elite Runner memulakan larian pada 7.40 pagi sementara Fun Run pula pada 9.30 pagi.

 

PENGALAMAN ORANGE WAVE 

Penulis memilih untuk menyertai kumpulan Orange Wave, atau dalam bahasa Melayu Gelombang Oren, dengan kebanyakan peserta tidak menetapkan masa khusus bagi menamatkan larian, kerana penulis sekadar mahu menikmati keindahan kota raya ini tanpa terburu-buru.

Sebelum acara bermula, ribuan peserta berkumpul di Hyde Park, memenuhi setiap pelusuk taman itu sehingga menyukarkan kami untuk bergerak ke lokasi berhimpun.

pic-3

Hyde Park, terletak di tengah-tengah CBD, dibina pada 1810 dan merupakan antara taman awam tertua Australia. Taman ini dikelilingi mercu tanda terkenal seperti St Mary’s Cathedral, Australian Museum dan Sydney Tower Eye.

Membentuk oasis hijau di tengah-tengah kesibukan bandar raya, taman ini merupakan venue popular untuk acara-acara keraian dan festival. Malah, turut menjadi lokasi pilihan masyarakat berhimpun ataupun menganjurkan bantahan.

Apabila larian bermula, lautan peserta membanjiri jalan - bukan sahaja mereka yang cergas tetapi juga golongan kurang upaya, khususnya pengguna basikal kayuhan tangan yang direka khas. 

Di sepanjang jalan, penduduk setempat datang memberi sokongan dan sorakan. Malah ada yang mengadakan persembahan bagi meniup semangat peserta. Turut kelihatan kibaran bendera Palestin oleh sesetengah penduduk, menzahirkan solidariti kepada rakyat negara berkenaan yang sedang menderita akibat konflik dengan Israel.

 

MENAWAN HEARTBREAK HILL

Sementara itu, hujan renyai yang turun di sebelah pagi kian lebat, menjadikan larian semakin mencabar. Ketika itu jarak larian penulis masih berbaki enam kilometer sebelum tiba di bahagian tersukar, dikenali sebagai  Heartbreak Hill.

Terletak di Rose Bay, bahagian mendaki sejauh dua kilometer ke Vaucluse ini mempunyai cerun yang tidaklah terlalu curam, namun jarak pendakian yang panjang dan berterusan cukup memenatkan. Lebih-lebih lagi selepas berlari beberapa kilometer dalam hujan lebat dengan pakaian yang basah lencun. Ditambah pula cuaca semakin sejuk apabila suhu turun ke sekitar 11 darjah Celsius. 

Namun, di sebalik cabaran itu, pemandangan menakjubkan Sydney Harbour serta keindahan di sepanjang laluan bagaikan penawar yang melegakan kesakitan otot penulis.

pic-4

Kalau diikutkan rasa sakit, mahu sahaja penulis berhenti separuh jalan namun semangat untuk meneruskan larian tetap berkobar-kobar. Barangkali susuk seorang kanak-kanak tempatan berusia lingkungan lapan tahun yang berlari dengan penuh tekad memacu penulis untuk menamatkan larian itu.  

 

 GARISAN PENAMAT DI BONDI BEACH

Ketika menghampiri kilometer terakhir di Bondi Beach, lonjakan tenaga dan adrenalin kembali memuncak - seolah-olah kepenatan penulis hilang begitu sahaja, dan tidak ada apa yang mampu menghalang penulis daripada menamatkan larian itu.

Dengan semangat yang kembali melonjak, penulis memecut ke garisan penamat seakan "tiada hari esok". Suasana ketika itu sukar dilupakan - pantai yang indah dan sorakan orang ramai melahirkan fenomena perayaan yang cukup meriah. Malah, cuaca juga kembali cerah. 

pic-5

Rasa bangga menyelubungi diri tatkala menerima pingat. Menamatkan larian sejauh 14 km dalam tempoh dua jam 44 minit merupakan satu pencapaian peribadi buat penulis.

Akan tetapi, City2Surf bukan satu-satunya tarikan di Sydney, iaitu antara destinasi penerbangan terus AirAsia X dari Kuala Lumpur. Kota raya ini menawarkan pelbagai venue menarik, antaranya Sea Life Aquarium.

Di sini, pengunjung berpeluang berjalan melalui terowong kaca untuk melihat hidupan marin, antaranya jerung, ikan pari, penyu dan juga penguin. 

Persinggahan lain ialah Madame Tussauds, sebuah muzium di mana selebriti, bintang filem dan tokoh terkenal diabadikan dalam bentuk patung lilin. Di sini, pengunjung boleh bergambar bersama-sama figura tersebut, memegang prop dan melalui pengalaman di set interaktif seperti Marvel Super Heroes atau babak daripada sejarah Australia.

Untuk pengalaman penuh adrenalin, penulis mencuba Oz Jet Boat di Sydney Harbour. Bukan sekadar tunggangan bot biasa, sebaliknya aktiviti ini dipenuhi pusingan mendebarkan, gelongsoran dan putaran 360 darjah. Ketika jantung berdegup kencang dipacu keseronokan, mata pula dijamu pemandangan indah Sydney Harbour dan Sungai Parramatta, memberikan pengalaman yang tidak dilupakan. 

Di Taronga Zoo yang menghadap Sydney Harbour, pengunjung berpeluang “bertemu” dengan haiwan ikonik Australia seperti koala, kanggaru dan wombat, selain spesies unik lain. Zoo ini juga menawarkan pertunjukan burung yang menghiburkan.

Di luar bandar Sydney pula terdapat Scenic World di Blue Mountains. Pemandangannya sungguh menakjubkan, daripada hamparan hutan eucalyptus atau pokok kayu putih, hinggalah formasi batu Three Sisters yang terkenal.

Jika inginkan kelainan dalam menyaksikan keindahan Sydney, pengunjung boleh ke Sydney Tower Eye, bangunan tertinggi di bandar raya itu. Dari puncaknya, sama ada pada waktu siang, matahari terbenam ataupun malam, pemandangan 360 darjahnya amat mempesona.

Di sini pengunjung dapat menyaksikan antaranya Opera House, Harbour Bridge malah Blue Mountains di kejauhan. Segalanya cukup mengujakan. Ringkas kata, kunjungan ke Sydney Tower Eye cara terbaik untuk menikmati keindahan panorama Sydney secara sepenuhnya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan