WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Prabowo Ganti Menteri Kewangan, Tubuh Kementerian Baharu Dalam Rombakan Kabinet

08/09/2025 08:57 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Sept (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Isnin melakukan rombakan Kabinet melibatkan lima kementerian utama, termasuk Kementerian Kewangan serta Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan.

Perubahan itu turut melibatkan Kementerian Perlindungan Pekerja Migran, Kementerian Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan.

Rombakan itu menyaksikan Ketua Dewan Komisioner Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) Purbaya Yudhi Sadewa dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Sri Mulyani Indrawati.

Mukhtarudin dinamakan sebagai Menteri Perlindungan Pekerja Migran baharu menggantikan Abdul Kadir Karding manakala Ferry Juliantono menggantikan Budi Arie Setiadi di Kementerian Koperasi.

Prabowo turut menamakan Mochamad Irfan Yusuf sebagai menteri pertama mengetuai Kementerian Haji dan Umrah yang baharu ditubuhkan, dengan Dahnil Anzar Simanjuntak sebagai timbalannya.

Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Prabowo di Istana Presiden di Jakarta Pusat dan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen nasional serta platform media sosial rasmi.

Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi dalam satu kenyataan berkata Prabowo masih belum menamakan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan yang baharu selepas Budi Gunawan digugurkan dan buat sementara waktu akan melantik pegawai sementara yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa pengganti Menteri Belia dan Sukan Dito Ariotedjo masih belum dilantik kerana beliau kini berada di luar kota.

“Berdasarkan pelbagai input serta penilaian berterusan yang dilakukan Presiden, petang ini beliau memutuskan untuk melaksanakan perubahan dalam Kabinet Merah Putih.

“Keputusan ini diharapkan membawa kebaikan kepada bangsa, negara dan rakyat,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan