WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Asia: Korea Selatan Sekat Hajat Speedy Tigress Ke Pusingan 'Super 4s'

08/09/2025 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Hasrat skuad hoki wanita kebangsaan untuk mara ke pusingan ‘Super 4s’ Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China, terkubur selepas dibelasah juara tiga kali, Korea Selatan 0-5 pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Perlawanan di Gongshu Canal Sports Park Stadium menyaksikan pemain berpengalaman Cheon Eunbi menjadi watak utama apabila meledak dua gol padang dalam tempoh tiga minit, masing-masing pada minit ke-27 dan ke-30, sekali gus membantu pasukannya mengesahkan slot ke pusingan ‘Super 4s’.

Terdahulu, pasukan kendalian Kim Yoon membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Kim Eunji pada minit ke-12, sebelum Jeong Dabin menambah gol kedua hasil situasi sama pada minit ke-39.

Cho Hyejin kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Korea Selatan dengan jaringan padang dua minit sebelum perlawanan tamat.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigress kekal di tangga ketiga Kumpulan A dengan tiga mata, sekali gus gagal menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik untuk mara ke ‘Super 4s’.

Korea Selatan kini menerajui carta Kumpulan A selepas mengumpul enam mata dengan kelebihan jaringan lebih besar (14) berbanding tuan rumah, China (11), yang berkongsi jumlah mata sama di tempat kedua, manakala Taiwan kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

China, yang juga juara dua kali, dijadual menutup saingan Kumpulan A menentang Taiwan pada pukul 7 malam ini.

Malaysia sebelum ini memulakan kempen dengan langkah sumbang apabila tewas 0-8 kepada China, Jumaat lepas, sebelum bangkit membenam Taiwan 11-1 semalam.

Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu akan meneruskan cabaran di peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan bermula Rabu ini.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan ini adalah meraih tempat ketiga pada edisi sulung 1985 di Seoul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan