WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Farm Fresh Yakin Pertumbuhan Keuntungan Dengan Pengembangan Di Pasaran Asean

09/09/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pakar produk tenusu yang berpangkalan di Johor, Farm Fresh Bhd kekal yakin terhadap pertumbuhan keuntungannya pada tahun depan disokong oleh kemajuan yang stabil dalam projek tempatan dan luar negara.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan Mohd Khairul Mat Hassan berkata operasi di Australia mula pulih daripada kerugian sebelum ini manakala pasaran Malaysia terus menunjukkan prestasi yang kukuh.

“Digabungkan dengan prestasi baik di Malaysia ditambah pula dengan peningkatan jualan produk susu sejuk di Filipina, kami menjangkakan dapat mencapai jumlah yang agak baik di sana,” katanya kepada para pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Kepimpinan Kelestarian CFO ASEAN di sini hari ini.

Farm Fresh memulakan operasi di Filipina dengan kemudahan pemprosesan baharu di San Simon, Luzon Tengah pada September 2024 bagi memenuhi keperluan pasaran Greater Manila dengan produk sejuk, produk UHT dan susu tepung untuk tumbesaran.

Sementara itu, beliau berkata kumpulan itu juga sedang meneroka rancangan untuk membina kilang di Kemboja dengan meletakkan negara berkenaan sebagai pintu masuk ke pasaran Indo-China yang merangkumi Laos, Myanmar dan Vietnam.

Mohd Khairul berkata Kemboja menawarkan potensi yang besar dengan populasi muda, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dan budaya kopi yang kukuh.

Beliau juga berkata operasi antarabangsa termasuk di Singapura masih menyumbang kurang daripada lima peratus kepada jumlah keseluruhan kumpulan.

Melihat ke hadapan bagi separuh kedua 2025, beliau berkata Farm Fresh menjangkakan keputusan suku tahunan yang kukuh kecuali berlaku ketidaktentuan global yang besar.

Syarikat itu juga mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih rendah dengan kos jagung dan dedak kacang soya yang menurun sekali gus mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan.

Mengenai penggabungan dan pengambilalihan, Mohd Khairul berkata kumpulan itu terbuka kepada peluang di dalam dan luar negara tetapi hanya akan meneruskannya jika ia selaras dengan objektif strategik seperti memasuki pasaran baharu atau mengukuhkan segmen produk tertentu.

“Kami hanya akan melakukan pengambilalihan jika ia memenuhi tujuan strategik kami. Contohnya, untuk memasuki negara lain atau mengembangkan segmen tertentu dalam sesuatu wilayah atau kategori produk tertentu,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan