WILAYAH - TIMUR > BERITA

EPMSSB, Velesto Meterai MSA Bagi Penyediaan Sokongan Marin Di Pelabuhan Kemaman

11/09/2025 12:09 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Sept (Bernama) -- Anak syarikat Epic Bhd, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMSSB) menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bersama Velesto Energy Bhd (Velesto) melalui anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd.

Ia dimeterai semasa Pameran Oil dan Gas Asia (OGA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Bhd Dr Muhtar Suhaili berkata pemeteraian MSA itu adalah bagi penyediaan perkhidmatan tambatan kapal, penempatan sementara (layup), kemudahan pelabuhan serta perkhidmatan sokongan marin di Pelabuhan Kemaman.

Menerusi perjanjian itu, EPMSSB dan Velesto akan membentuk rangka kerja yang menjadi asas kepada kerjasama berterusan dalam menyokong operasi luar pesisir dan aktiviti berkaitan di Pelabuhan Kemaman, kata beliau.

“Kerjasama yang terjalin mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat serta komitmen dalam memenuhi keperluan industri melalui penyediaan perkhidmatan marin dan pelabuhan yang cekap dan dipercayai.

"MSA ini bukan sahaja menetapkan rangka kerja yang jelas untuk kerjasama dalam sokongan operasi luar pesisir, tetapi turut memperkukuh kedudukan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama sektor minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, EPMSSB diwakili Pengurus Besar Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin Kapten Mohd Kamarul Mamat manakala Velesto diwakili Naib Presiden Kanan, Perniagaan Penggerudian Abdul Hadi Abdul Bari.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC Wan Mohd Azilah Wan Abdullah, Naib Presiden (Operasi) Velesto Norzaidi Mohd Zahidin dan Ketua Jabatan Perolehan Velesto Muhd Nazif Muhamad.

Sementara itu, Muhtar berkata pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan pihak Velesto dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang sejajar dengan penanda aras serta piawaian industri. 

Dengan termeterainya MSA ini serta kontrak-kontrak lain yang sedang berjalan, EPMSSB berada di landasan yang tepat untuk terus memperkasa peranan syarikat dalam merancakkan industri minyak, gas dan maritim, di samping menyokong pertumbuhan mampan sektor tenaga serantau, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan