WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Serangan Israel Tidak Beri Impak Langsung Kepada Perdagangan, Industri Minyak Malaysia - Tengku Zafrul

11/09/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Serangan Israel ke atas Qatar tidak memberi impak langsung kepada Malaysia, terutamanya industri minyak dan perdagangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata konflik yang sedang berlaku di Gaza tidak menjejaskan aliran perdagangan atau aktiviti perindustrian tetapi situasi semasa terus dipantau.

“Jika keadaan ini tidak berlanjutan, ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, buat masa ini, tiada impak termasuk terhadap industri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MyAERO Summit 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) Malaysia di sini hari ini.

Mengenai sektor aeroangkasa, beliau berkata insiden terkini di Timur Tengah, termasuk serangan udara oleh Israel, tidak memberi impak terhadap industri aeroangkasa Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan memudah cara kemajuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-EU.

Beliau berkata pusingan kedua rundingan FTA dengan EU dijadualkan pada November.

“Kami percaya FTA ini akan membantu mengurangkan kesukaran dan cabaran dalam perdagangan dan pelaburan antara EU dan Malaysia,” katanya.

Pusingan pertama rundingan FTA telah diadakan di Brussels, Belgium dari 30 Jun hingga 4 Julai 2025, melibatkan 21 bab yang sedang dalam rundingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan