KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meluluskan peraturan baharu sistem masa yang bertujuan untuk melancarkan tempoh permainan dalam kejohanan mulai tahun hadapan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BWF, inisiatif berkenaan yang diluluskan pada mesyuarat Majlis BWF pada 29 Ogos itu akan mula diuji bermula 18 hingga 23 Nov.
Menerusi sistem baharu itu, pemain diberi tempoh senggang 25 saat selepas sesuatu aksi rali dan kiraan masa bermula sebaik sahaja pengadil mengumumkan mata.
“Pemain yang memegang servis perlu bersedia sebelum masa tamat dan pemain yang bakal menerima servis perlu bersiap sebaik saja pemain yang memulakan servis sudah berada pada kedudukan.
“Pengadil masih mempunyai kuasa untuk melanjutkan tempoh senggang itu dalam keadaan tertentu, seperti isu perubatan atau masalah gelanggang.
“Pemain dibenarkan mengelap peluh, minum atau memakai semburan otot dalam tempoh 25 saat itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Inisiatif itu dibuat selepas data menunjukkan purata senggang antara rali mencecah 22 saat, berbanding hanya sembilan saat pada aksi permainan sebenar.
BWF percaya peraturan berkenaan akan memberikan keseimbangan yang adil antara masa berehat sambil mengekalkan kerancakan permainan.
Ujian awal peraturan itu telah pun dilaksanakan untuk pemain dan pegawai menyaksikan sendiri keberkesanannya, serta lebih banyak ujian bakal menyusul.
BWF turut mempelawa ahli persatuan untuk menjalankan ujian sendiri dan memberi maklum balas melalui tinjauan dalam talian yang akan berakhir pada 19 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial