WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suri Rumah Didenda RM10,000 Fitnah Yang Dipertua Negeri Sabah Di Facebook

11/09/2025 06:24 PM

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Seorang suri rumah didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat satu hantaran palsu dan berbaur fitnah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah di laman Facebook, berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Julai lepas.

Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Asmaziah Sedek, 32, dan memerintahkan wanita itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Asmaziah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi akaun Facebook “Ash Qiey” dengan niat untuk mengganggu orang lain, pada 9.21 malam, 29 Julai.

Hantaran komunikasi tersebut telah dibaca Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Abdullah Hussin di kediaman Yang Dipertua Negeri Sabah, Sri Anggerik, Luyang dekat sini pada 10 pagi, 31 Julai.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, kerana telah menyebarkan berita palsu melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Asmaziah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan tidak bekerja, selain suaminya baru mendapat kerja serta tinggal jauh daripadanya dan anak-anak.

“Saya harap hukuman denda saya diringankan kerana saya juga mempunyai anak berusia lapan bulan yang masih menyusu dan seorang anak yang bersekolah di sekolah rendah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan