WILAYAH - SABAH > BERITA

Bantuan Awal Ringankan Beban Mangsa Banjir Penampang

13/09/2025 05:02 PM

Oleh Fadzli Ramli

PENAMPANG, 13 Sept (Bernama) -- Mangsa banjir di daerah ini menghargai bantuan awal yang diberikan pihak berkuasa dan komuniti setempat, termasuk makanan, tempat tinggal, selimut serta keperluan lain yang disalurkan bagi meringankan beban mereka.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang mendapati penghantaran bantuan kecemasan dilaksana berperingkat bersama operasi pemindahan diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang, selain orang ramai tampil membantu menyelamatkan barangan penting dan membersihkan kawasan terjejas.

Juvinus Jimpin, 46, pemandu van pelancongan dari Donggongon berkata bantuan makanan panas dan tikar segera yang diterima sejurus tiba di pusat pemindahan sementara amat melegakan selepas rumahnya dinaiki air pada awal pagi semalam.

“Anak-anak dapat berehat dan isteri saya boleh urus keperluan asas tanpa perlu risau bekalan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PPS yang disediakan dengan baik untuk keluarganya selain memudahkan agihan bantuan keperluan seperti selimut, tuala, lampu suluh dan ubat-ubatan asas, seterusnya mengurangkan tekanan khususnya kepada warga emas dan kanak-kanak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 224 mangsa banjir daripada 64 keluarga dipindahkan di Penampang pagi ini, manakala 154 mangsa daripada 53 keluarga dipindahkan di Beaufort.

Rosnita Gimbut, 33, pembantu tadika, dari Kibabaig berkongsi bahawa keutamaan ketika ini ialah kebersihan dan keselamatan kanak-kanak.

“Pihak sukarelawan beri lampin, susu dan kit kebersihan. Itu sangat penting untuk elak penyakit bawaan air,” katanya yang turut memuji koordinasi antara sukarelawan dan agensi keselamatan.

Beliau berharap agar proses pemulihan selepas banjir memberi fokus kepada kesihatan awam, bekalan air bersih, pengurusan sisa dan saliran, di samping langkah pencegahan jangka sederhana seperti penyahmampatan parit, pelan aliran air dan latihan kesiapsiagaan komuniti.

Sementara itu, Terrence Lojing, 58, peniaga dari Pekan Penampang berkata laluan utama terutama Jalan Penampang-Tambunan yang dapat dibuka setelah terjejas membantu pergerakan pasukan pembersihan dan penghantaran bekalan terutama kawasan terjejas teruk.

“Sini komuniti setempat bersama pihak berkuasa bergerak sama-sama untuk membantu mangsa, pindahkan mereka juga beri bantuan. Tidak kita apa sahaja latar belakang kita, semua sama sahaja bagi bantuan,” katanya.

Beliau turut terharu melihat anggota parti politik terutama Gabungan Rakyat Sabah, Parti Warisan, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional semuanya bekerjasama menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di Penampang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan