WILAYAH - TIMUR > BERITA

LKIM Serah Dua Unit Rumah Baharu Kepada Nelayan Bachok Di Bawah Projek PKPN

13/09/2025 07:34 PM

BACHOK, 13 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh usaha meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan dengan menyerahkan dua unit rumah baharu di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Perupok, di sini.

Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat berkata penerima Mohamed Awang, 65, dan Mohd Zahari Mat, 37, merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok yang layak menerima bantuan berkenaan.

“Projek PKPN antara inisiatif utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui LKIM bagi memastikan kesejahteraan nelayan terus terbela.

“Dengan adanya rumah lebih selesa dan selamat, keluarga nelayan dapat menikmati kualiti hidup lebih baik sekali gus memperkukuh komuniti nelayan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah yang turut dihadiri Pengarah LKIM Kelantan Sobri Ibrahim.

Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2012, PKPN memberi manfaat kepada nelayan berpendapatan rendah melalui baik pulih rumah, pembinaan rumah baharu serta penempatan semula nelayan dengan kemudahan asas.

Pada tahun ini, kadar bantuan ditetapkan sehingga RM20,000 bagi baik pulih rumah nelayan manakala pembinaan rumah baharu mencecah RM84,000 seunit di Semenanjung serta RM90,000 seunit di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Sejak 2012 hingga Ogos lepas, sebanyak 20,603 rumah nelayan di seluruh negara dibaik pulih membabitkan peruntukan RM220.4 juta manakala 306 unit rumah baharu siap dibina dengan kos RM20.9 juta, menjadikan keseluruhan kos lebih RM241 juta.

“Di Kelantan sahaja, sebanyak 1,004 rumah nelayan telah diluluskan untuk baik pulih dengan kos RM9.6 juta, manakala 16 unit rumah baharu diluluskan. Daripada jumlah itu, 12 telah siap dibina manakala empat lagi dijadualkan dibina pada Fasa 2 tahun ini dengan kos keseluruhan RM1.2 juta,” katanya.

Hamdan berkata LKIM turut memohon peruntukan RM70 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk RM10 juta bagi Rolling Plan Pertama (RP1) untuk melaksanakan 2,321 projek baik pulih serta 274 projek pembinaan rumah baharu nelayan menerusi PKPN dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai kriteria penerima, beliau berkata individu mesti nelayan yang turun ke laut menangkap ikan, memiliki tanah sendiri atau mendapat kebenaran untuk membina rumah di tanah tersebut serta menjadi ahli persatuan nelayan kawasan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan