WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belia Perlu Terus Dipupuk Sebagai Pewaris Kepimpinan Masa Depan

13/09/2025 06:44 PM

SARIKEI, 13 Sept (Bernama) -- Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara, serta perlu terus dipupuk sebagai pewaris kepimpinan masa depan.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2.0 Zon Borneo 2 di Rumah Panjang Kanyan, Nyalak Ladong, Pakan, di sini hari ini.

Abdul Karim berkata belia perlu diberi ruang berfikir secara bebas, progresif dan berwawasan agar mampu melahirkan generasi yang dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan negeri dan negara.

“Jika kita mahu melihat bagaimana keadaan negara atau negeri pada masa akan datang, lihatlah pada keadaan belia hari ini. Saya teruja apabila melihat belia-belia kita begitu peka dengan isu semasa, termasuk berkaitan sosial, kepimpinan dan masa depan negara,” katanya.

Abdul Karim turut memuji penganjuran program berkenaan yang berjaya menyatukan belia daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira fahaman politik atau kaum.

“Program sebegini dapat merapatkan hubungan antara kementerian pusat, kementerian negeri, agensi berkaitan dan belia sendiri. Apa yang lebih penting, kita dapat berkongsi aspirasi serta mendengar pandangan mereka,” katanya.

Program Kembara JOM 2.0 Zon Borneo 2 anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu menghimpunkan belia dari Pakan, Julau serta kawasan sekitar, dengan pelbagai aktiviti berbentuk dialog, sesi dialog awam dan perkongsian aspirasi belia.

Abdul Karim turut menyuarakan harapan agar program seumpama itu diadakan di kawasan-kawasan lain di Sarawak.

Beliau menegaskan kementeriannya sentiasa komited memberi sokongan serta kerjasama terhadap penganjuran program sedemikian pada masa akan datang.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu; dan Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan