WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kesedaran Integriti Perlu Pendekatan Segar, Relevan Dengan Kehidupan Seharian - EAIC

14/09/2025 12:48 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Sept (Bernama) -- Kesedaran mengenai integriti tidak seharusnya hanya disampaikan melalui kaedah formal, sebaliknya memerlukan pendekatan yang segar serta relevan dengan kehidupan seharian masyarakat.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata program seperti Larian ERAT Malaysia anjuran suruhanjaya itu membuktikan mesej integriti boleh disampaikan dengan cara lebih dekat kepada rakyat.

Larian ERAT Malaysia bertemakan ‘Integriti Dijulang, Negara Bermaruah’ ini bukan sekadar acara sukan, malah ia tentang bersama-sama, menyokong dan meraikan setiap langkah. Setiap langkah kita bukan sahaja menuju ke garisan penamat tetapi turut melatih disiplin, ketahanan dan tanggungjawab iaitu elemen yang membentuk nilai integriti serta jati diri kehidupan.

“Oleh itu, melalui larian ini EAIC cuba memupuk integriti dengan pendekatan segar yang dekat dengan gaya hidup masyarakat supaya kesedaran mengenai integriti bukan sekadar topik berat, sebaliknya boleh diamalkan dan difahami dalam kehidupan nyata,” katanya kepada pemberita selepas Larian ERAT Malaysia di Dataran Batu Buruk di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Ismail turut melancarkan logo baharu EAIC dan Iklan Pesanan Khidmat Awam (PKA) hasil kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bakal ditayangkan di pelbagai platform media bagi menyampaikan mesej integriti dan pencegahan salah laku.

Beliau berkata pelancaran logo baharu dan PKA itu merupakan kesinambungan usaha penjenamaan semula EAIC yang diumumkan pada 8 Ogos lepas.

“Ia bertujuan memperkukuh imej baharu EAIC sebagai institusi yang proaktif mempromosikan integriti, meningkatkan kefahaman awam serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memerangi salah laku,” katanya.

Ismail menegaskan komitmen EAIC memperkukuh kesedaran integriti akan terus diperkasa bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan agensi penguatkuasaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Program sehari anjuran EAIC dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta.

Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran, sesi interaktif ‘pocket talk’, Jualan Rahmah serta aktiviti pendidikan dan kesedaran awam bagi memastikan mesej integriti dapat disampaikan dengan berkesan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan