SIBU, 14 Sept (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian RM135,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an pada 13 Sept dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri dari Kuala Lumpur pada 18 Jun lepas, menawarkan skim pelaburan saham dikenali sebagai AAPL dengan pulangan RM4.20 bagi setiap unit pelaburan.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi berkaitan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang kononnya memaparkan keuntungan pelaburan.
“Suspek turut memaklumkan bahawa selepas wang permulaan dimasukkan, mangsa akan memperoleh keuntungan sebanyak RM42,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju melabur dan membuat beberapa pembayaran ke akaun yang diberikan suspek.
Dalam tempoh 4 hingga 9 Sept, mangsa melakukan 18 transaksi pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM135,000 ke sebuah akaun tempatan.
Bagaimanapun, selepas pemindahan dibuat, mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti dijanjikan malah diminta menambah lagi pelaburan.
Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial