WILAYAH - TENGAH > BERITA

ATM Laksana Latihan Penerbangan Taktikal Mulai Esok Di Kuantan

14/09/2025 11:20 PM

KUANTAN, 14 Sept (Bernama) -- Pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter akan melaksanakan latihan penerbangan taktikal bermula esok hingga 18 Sept di Pangkalan Udara Kuantan serta ruang udara sekitar Pahang.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan itu sebagai persiapan demonstrasi dinamik sempena Perbarisan Hari ATM ke-92 pada 20 Sept serta Karnival Kerjasama Awam Tentera (CIMIC) pada 20 dan 21 Sept di pangkalan berkenaan.

“Demonstrasi dinamik ini akan mempamerkan keupayaan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara dan melaksanakan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh. Beberapa letupan turut akan diadakan semasa demonstrasi itu,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau terdengar bunyi letupan sepanjang tempoh latihan berkenaan.

Kenyataan itu turut memaklumkan orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Hari ATM ke-92 pada 20 dan 21 Sept bertemakan “Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa” yang menampilkan pameran statik aset ATM serta demonstrasi dinamik secara langsung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan