WILAYAH - TENGAH > BERITA

Polis Siasat Insiden Gaduh Di Kawasan Lampu Isyarat Di Klang

14/09/2025 06:34 PM

SHAH ALAM, 14 Sept (Bernama) -- Polis sedang menyiasat insiden pergaduhan yang berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Persiaran Batu Nilam di Bukit Tinggi, Klang pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Supt Kamalariffin Aman Shah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda.

Beliau berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun 4.52 petang hari yang sama, memaklumkan dia dicederakan seorang lelaki akibat perselisihan faham di jalan raya pada 1.13 tengah hari.

“Pengadu yang memandu kereta jenis Honda City berhenti di belakang kereta jenis Proton Gen 2 di kawasan lampu isyarat. Tiba-tiba kereta Proton Gen 2 mengundur ke belakang dan terlanggar bahagian hadapan kereta pengadu.

“Susulan itu, seorang lelaki dan seorang wanita turun dari kereta dan berlaku perselisihan faham di hadapan kereta pengadu. Pemandu kereta Proton Gen 2 itu kemudian bertindak merangkul leher pengadu dan seterusnya berlaku pergelutan antara mereka sebelum dileraikan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kamalariffin berkata ekoran itu, pengadu mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, tangan, serta leher dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi IPD Klang Selatan melalui talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya. 

Terdahulu, tular dua rakaman video dipercayai dari kamera papan pemuka kereta memaparkan pergaduhan membabitkan tiga individu di kawasan lampu isyarat.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan