WILAYAH - SABAH > BERITA

Pembangunan Rancak Lonjakkan Ekonomi Penduduk Pulau Banggi

15/09/2025 12:25 PM

Oleh Arthur Edward

KUDAT, 15 Sept (Bernama) -- Pembangunan yang kini semakin rancak telah melonjakkan ekonomi penduduk di Pulau Banggi, pulau terbesar di Malaysia yang terletak kira-kira 70 kilometer dari tanah besar Kudat dan hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju.

Tinjauan Bernama di pulau berkenaan baru-baru ini mendapati kawasan yang suatu ketika dahulu hanya kawasan hutan tanpa kemudahan asas kini mengalami transformasi menyeluruh selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya berturap, talian Internet yang boleh diakses di kebanyakan kawasan serta bekalan elektrik dan air semakin baik telah menjadikan kehidupan seharian penduduk di pulau berkenaan lebih mudah dan harmoni.

Petugas Unit Pembangunan Pejabat Daerah Kecil Banggi Razif Sarabi, 40, berkata mengikut data rasmi, pulau berkenaan menempatkan kira-kira 15,000 penduduk dengan sumber ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.

"Majoriti penduduk di sini suku kaum Ubian, Dusun Banggi, Kegayan, Suluk dan Bajau. Luas pulau ini ialah 126,570 ekar dan berkedudukan paling utara di Sabah yang diisytiharkan secara rasmi sebagai satu daerah pada 1975," katanya kepada Bernama.

Razif menambah pulau itu kini mempunyai 46 kampung serta 15 sekolah termasuk sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang menyediakan pendidikan kepada penduduk tempatan.

Beliau yang telah berkhidmat di pulau berkenaan sejak 17 tahun lepas berkata, pada awal perkhidmatannya, kemudahan asas seperti jalan raya tidak tersedia, menyebabkan perhubungan penduduk amat terbatas.

"Dahulu bekalan air bersih juga tiada, selain tiada bekalan elektrik. Masalah-masalah ini menyebabkan kualiti hidup penduduk tidak berkembang sehingga lebih daripada 70 peratus penduduk di pulau ini dikategorikan miskin," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa saban tahun sehingga kini banyak perkara telah berubah dengan kemudahan asas dan infrastruktur semakin bertambah baik, walaupun pada dasarnya belum mencukupi.

Razif memberitahu pada awal 2000, kemudahan jalan raya di pulau itu belum berturap dan tidak boleh dilalui ketika musim hujan, menyebabkan penduduk sukar membawa hasil pertanian ke lokasi lain untuk dijual.

"Begitu juga kemudahan Internet, dahulu kita terpaksa panjat pokok dan naik bukit untuk mencari talian, namun sekarang kita boleh mengakses Internet dengan mudah di rumah. Jalan raya yang sudah berturap kini juga sejauh 15 kilometer daripada Karakit ke kampung-kampung berhampiran," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa banyak kemudahan lain telah dibina oleh kerajaan untuk memudahkan penduduk di pulau berkenaan, termasuk jeti dan pasar ikan baharu di Karakit yang siap dibina pada tahun ini dan sangat diperlukan oleh penduduk di situ.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan