WILAYAH - SABAH > BERITA

Batu Sumpah Keningau Simbol Penting Pembentukan Malaysia

15/09/2025 12:50 PM

Oleh Suraidah Roslan

KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Batu Sumpah Keningau bukan sekadar bongkah batu sebaliknya simbol penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, melambangkan iltizam Malaysia yang akan senantiasa menjaga hak rakyat Sabah dan rakyatnya pula kekal taat setia kepada negara. 

Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil berkata batu sumpah itu perlu diangkat sebagai bukti rakyat Sabah menerima pembentukan Malaysia dengan syarat tertentu yang menyentuh hak adat, kebebasan beragama dan tanah.

Beliau berkata ia menjadi pengikat supaya dasar pembangunan negara tidak terpesong daripada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perlu dilindungi sebagai khazanah warisan kebangsaan.

“Batu sumpah itu diletakkan secara rasmi pada 31 Ogos 1964 oleh Menteri Buruh V. Manickavasagam dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens dan pegawai kanan kerajaan negeri

“Terletak di daerah Keningau, batu sumpah itu simbol yang berkait rapat dengan syarat perjanjian masyarakat tempatan sebelum bergabung dengan Tanah Melayu, rakyat Sabah membuat ikrar atau sumpah yang dicatatkan pada batu ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Walaupun pada asalnya Sabah ialah tanah jajahan British, namun wilayah berkenaan bersedia untuk menyertai sebuah negara yang lebih besar dengan semangat kerjasama dan harmoni.

Ini mencerminkan usaha untuk membina sebuah negara yang berbilang kaum budaya dan agama, namun tetap dalam semangat persatuan dan saling menghormati, manakala identiti Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia dihormati dan diiktiraf.

Peter berkata pejabat daerah dan Jabatan Muzium Negeri Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi supaya Batu Sumpah Keningau diwartakan sebagai tapak warisan negeri atau kebangsaan.

“Dengan pengiktirafan itu, ia akan dapat menjamin perlindungan berterusan ke atas tapak bersejarah ini dibawah undang-undang yang lebih ketat. Proses dokumentasi sedang dilakukan dan kita berharap akan dapat diwartakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata dalam kalangan generasi muda di Sabah mungkin tahu tentang kewujudan batu sumpah tetapi kurang mendalami butiran atau simbolik di sebalik batu itu yang kini ditempatkan di Muzium Warisan Keningau.

Peter berkata pihaknya dalam perancangan untuk mendirikan sebuah replika batu sumpah yang akan dibina di Dataran Keningau sebagai satu daripada tarikan pelancongan.

“Pelancong boleh mengambil gambar di replika batu yang lebih besar dan kita akan tekankan bahawa ia hanya replika, kedudukan batu sumpah sebenarnya berada di Muzium Warisan Keningau,” katanya.

Ketua Daerah Keningau Ramanus Michael @ Sogunting berkata upacara peringatan diadakan di Batu Sumpah Keningau pada setiap 16 Sept, diketuai pengamal adat tradisional Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) atau bobolian.

Beliau berkata dalam upacara ritual itu, haiwan ternakan akan dikorbankan sebagai simbolik untuk memperbaharui janji-janji pada batu sumpah berkenaan.

Terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi apabila berkunjung ke batu sumpah berkenaan, termasuk harus berada dalam keadaan suci dan jangan menyimpan niat yang tidak baik ketika berkunjung ke situ.

“Ibu mengandung tidak boleh berkunjung atau menghampiri batu sumpah. Banyak peraturan yang perlu dipatuhi ketika berkunjung ke batu sumpah,” katanya.

Ramanus berkata sekiranya ada pihak yang melanggar peraturan, mereka boleh dikenakan denda atau 'sogit', iaitu seekor haiwan ternakan seperti lembu atau kerbau untuk digunakan dalam upacara ritual yang diketuai oleh bobolian.

Batu sumpah sebenar ialah batu kecil yang berada di tepi bongkah batu besar yang mempunyai catatan ikrar atau sumpah berkaitan hak-hak adat, kebebasan beragama dan tanah. Batu sungai sebesar 60cm itulah digunakan dalam upacara ritual setiap tahun sempena Hari Malaysia.

Batu Sumpah Keningau pada asalnya diletakkan di depan pejabat tanah sebelum dipindahkan ke kawasan pejabat daerah dan kini ditempatkan di Muzium Warisan Keningau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan