WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nanning Sedia Jadi Metropolis Antarabangsa Bagi Kerjasama Terbuka Dengan ASEAN

15/09/2025 05:17 PM

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

NANNING (China), 15 Sept (Bernama) -- Nanning memberi tumpuan kepada peranan dan misi baharu yang diamanahkan kerajaan untuk membina sebuah metropolis antarabangsa bagi kerjasama terbuka dengan ASEAN dan menubuhkan Zon Integrasi dan Pembangunan Industri Rentas Sempadan China-ASEAN, menurut Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Guangxi.

Bandar itu yang merupakan ibu negeri wilayah autonomi Guangxi Zhuang sedang melaksanakan falsafah pembangunan baharu secara menyeluruh, giat membuka peluang dan sentiasa mewujudkan pemacu pertumbuhan baharu bagi ekonomi terbukanya.

“Dengan menyokong dan mempermudah pembangunan yang dinaik taraf bagi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS), Nanning memanfaatkan kelebihan itu melalui pelbagai strategi keterbukaan pada peringkat nasional.

“Selain itu, ia terus memperkukuh dan memperkasakan platform terbukanya,” menurut pejabat  berkenaan dalam buku panduan yang disediakan untuk wartawan antarabangsa di sini pada Isnin.

Usaha ini telah membentuk "Saluran Nanning" bagi kerjasama ekonomi dan perdagangan, pertukaran dan komunikasi serta mesyuarat antara China dan negara-negara ASEAN, katanya.

Pada masa ini, enam negara ASEAN telah membuka konsulat jeneral di Nanning, dan Nanning telah menjalinkan hubungan bandar berkembar/bandar sahabat dengan 31 bandar di seluruh dunia.

Menurutnya sebagai komponen penting dalam Inisiatif Jalur dan Laluan, Nanning berada pada pusat pertemuan antara Lingkaran Ekonomi China Selatan, Lingkaran Ekonomi Barat Daya China dan Zon Ekonomi China-ASEAN.

Berikutan kedudukannya berhampiran laut dan sempadan negara serta terletak di sepanjang sungai dan laluan pengangkutan utama, Nanning adalah ibu negeri wilayah di China yang paling dekat dengan negara-negara ASEAN.

Dalam pada itu, Nanning akan menganjurkan majlis meraikan media bagi edisi ke-22 CAEXPO dan CABIS pada Selasa manakala majlis perasmian akan diadakan pada Rabu.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada Isnin pula memaklumkan pihaknya menyasarkan jualan eksport sebanyak RM230 juta pada CAEXPO ke-22 yang dijadual bermula pada 17 hingga 21 Sept 2025 di Nanning.

Delegasi Malaysia ke CAEXPO kali ini menghimpunkan lebih 70 organisasi termasuk tiga kementerian, enam agensi kerajaan utama dan pempamer pelbagai industri di Malaysia.

Pavilion Malaysia akan membawakan pameran komprehensif mengenai keupayaan bekalan negara di bawah teraju MATRADE.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata walaupun Malaysia dikenali dengan durian, kopi dan sarang burung yang menjadi kesukaan di pasaran, keistimewaan negara ini adalah lebih daripada itu.

“Pada tahun ini, kami berbangga untuk membawakan tawaran yang lebih luas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, bahan binaan dan sektor bernilai tinggi seperti penyelesaian logistik dan pengedaran, teknologi dan kecerdasan buatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan