WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MB Perlis Baharu Umum Potong Gaji Peribadi RM3,000, Exco Baharu RM1,500

29/12/2025 01:34 PM

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Perlis baharu Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gajinya sebanyak RM3,000 setiap bulan sebagai antara usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri.

Abu Bakar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata langkah itu juga akan dilaksanakan terhadap barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) yang akan dilantik selepas rombakan dibuat, dengan jumlah dicadangkan sebanyak RM1,500 sebulan. 

“Untuk Exco baharu nanti, saya juga akan nasihatkan mereka untuk membuat pemotongan sebanyak RM1,500. Saya boleh potong RM3,000, saya rasa bagi mereka RM1,500, insya-Allah boleh.

“Kita kena bagi khidmat kita kepada negeri dan rakyat...rakyat di bawah yang nak cari RM500 sebulan pun berat. Jadi saya dengan rela hati buat pemotongan ini supaya rakyat nampak pengorbanan yang kita nak buat untuk majukan negeri…kita kena bagi khidmat kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi waktu masuk di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra di sini hari ini selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau semalam.

Turut hadir bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail.

Sementara itu, menyentuh tentang pelantikan Exco baharu, beliau akan mengadakan perbincangan Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum menghantar nama calon kepada Tuanku Syed Sirajuddin.

Beliau berkata jumlah lantikan Exco baharu itu nanti, akan mengambil kira soal perbelanjaan negeri serta beberapa faktor lain termasuk keseimbangan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.

“Kita nak imbang balik antara kepimpinan yang sedia ada antara dua parti supaya pentadbiran ataupun pelantikan Exco ini dapat diselaraskan dengan baik.

“Nak puas hati tak boleh, tapi kurang-kurangnya dapat imbangkan antara kepimpinan dua parti ini dan pentadbiran kerajaan pun dapat diselesaikan dengan dengan selaras dan baik,” katanya.

“Buat masa ini Exco yang sedia ada jadi caretaker untuk apa juga majlis-majlis yang boleh dihadiri,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata pentadbirannya akan berlandaskan konsep 3B iaitu, Bangkit, Bingkas dan Buat untuk memastikan Perlis mampu mencapai kemajuan selari dengan negeri-negeri lain.

Walaupun Perlis, hanyalah sebuah negeri kecil dan mempunyai pendapatan yang kecil, namun beliau yakin dengan usaha serta penggemblengan tenaga semua ketua-ketua jabatan, kejayaan dan kemajuan untuk negeri itu mampu direalisasikan.

“3B menjurus ke arah bangkit, bingkas dan buat. Itu yang saya dapat ilham untuk kita sama-sama bangunkan Perlis.

“Kita kena bangkit daripada tidur, bangkit daripada kelemahan, bangkit daripada sifat malas dan sebagainya, ini kita tekankan kepada diri saya dan juga semua rakyat kakitangan kerajaan,” katanya

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan