WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Somaliland: Liga Arab Gesa UNSC Ambil Tindakan Tegas Terhadap Pengiktirafan Israel

29/12/2025 01:33 PM

KAHERAH/ISTANBUL, 29 Dis (Bernama-Anadolu) -- Liga Arab pada Ahad menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mengambil pendirian tegas terhadap pengiktirafan “tidak sah” Israel ke atas wilayah pemisah Somaliland, sambil memberi amaran bahawa langkah itu mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan akhir yang dikeluarkan badan serantau Arab berkenaan selepas mesyuarat tergempar yang diadakan di Kaherah di peringkat wakil tetap, atas permintaan Somalia dan disokong oleh beberapa negara anggota.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan “mengecam sekeras-kerasnya pengiktirafan Israel terhadap wilayah barat laut Somalia yang dikenali sebagai Somaliland,” sambil menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan memajukan agenda politik, keselamatan dan ekonomi yang tidak boleh diterima.

Ia turut menegaskan “penolakan mutlak” terhadap sebarang langkah susulan pengiktirafan itu yang boleh memudahkan rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin atau membenarkan penggunaan pelabuhan di utara Somalia bagi penubuhan pangkalan ketenteraan.

Mesyuarat itu turut meminta Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit, untuk secara rasmi menghubungi presiden UNSC, setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika bagi menggesa mereka mengambil “pendirian tegas” terhadap pengiktirafan Israel terhadap Somaliland, yang disifatkan sebagai satu langkah mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Israel pada Jumaat menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, serta beberapa negara di Afrika dan Asia Barat.

Bantahan antarabangsa terhadap pengiktirafan Israel itu terus meningkat, dengan banyak negara menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta ancaman terhadap kestabilan serantau.

Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, masih belum menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa walaupun berfungsi sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan de facto, manakala kerajaan pusat Somalia masih bergelut untuk mengukuhkan kawalan ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan