WILAYAH - UTARA > BERITA

Ikhtiar MADANI Terus Perkasa Kebajikan, Kesejahteraan Rakyat Di Perlis

29/12/2025 05:55 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi dan Nurul Syahirah Zulkifli

KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- Manfaat Ikhtiar MADANI, satu inisiatif di bawah Kerajaan Perpaduan, terus dinikmati oleh rakyat serta pelajar di Perlis menerusi pelaksanaan program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di negeri itu.

Tinjauan Bernama di Kampung Santan Selatan yang dijadikan Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada April lepas mendapati banyak penambahbaikan prasarana telah dilaksanakan untuk kesejahteraan lebih 1,600 penduduk di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Santan Selatan Affandi Haron berkata antara penambahbaikan prasarana yang telah dilaksana ialah kerja baik pulih  Dewan Orang Ramai Seri Santan yang siap pada awal Oktober lepas.

“Dewan Orang Ramai ini dah bertahun-tahun kelihatan uzur dan terbiar sebelum ini kerana kekangan dana untuk kerja baik pulih tersebut.

“Selepas dewan ini siap dibaik pulih, ia kelihatan lebih ‘hidup’ dengan aktiviti penduduk kampung seperti kelas memasak setiap Selasa selain Program Senaman Lutut (untuk pesakit osteoartritis lutut) pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat yang dilaksanakan oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kangar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk kampung turut diberikan perhatian dengan membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur Klinik Desa Santan yang uzur untuk memberi keselesaan kepada pesakit ketika mendapatkan rawatan.

Affandi berkata menerusi program Kampung Angkat MADANI itu juga, Program Saringan Kesihatan Komuniti dari rumah ke rumah dengan kerjasama JPKKP dan Pejabat Kesihatan Daerah Kangar serta Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dilaksanakan sebagai pendekatan memantau kesihatan penduduk setempat. 

Sehubungan itu, beliau berkata program di bawah Ikhtiar MADANI sememangnya sangat efisien dan efektif dalam usaha meningkatkan keupayaan serta kesejahteraan komuniti di kampung berkenaan.

Affandi berkata ini kerana melalui program itu, petugas perkhidmatan kesihatan turun secara terus mendekati rakyat bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit dalam kampung tersebut tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Guru Besar SK Santan Md Nazir Nik Ali pula berkata sekolah itu, yang menjadi sekolah angkat KKM di bawah program Sekolah Angkat MADANI, telah memperoleh peruntukan RM100,000 antaranya untuk menambah baik kemudahan infrastruktur dan meningkatkan pencapaian akademik murid.

Beliau berkata peruntukan itu antaranya telah digunakan untuk menggantikan bumbung di laluan berhadapan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan memasang bumbung di laluan pejalan kaki dalam kawasan sekolah.

Md Nazir berkata peruntukan itu juga digunakan untuk membeli 25 unit komputer riba bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu, kita juga guna peruntukan ini untuk membeli 12 unit televisyen android dan diletakkan dalam 12 kelas, menambah kemudahan sukan serta menaik taraf bilik muzik manakala murid-murid pula berpeluang menjalani pemeriksaan mata secara percuma dan seramai 39 orang akan diberikan cermin mata percuma,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata program Sekolah Angkat MADANI sangat bermanfaat kerana ia bukan sahaja dapat menyumbang kepada kemenjadian murid malah memperkukuh keselesaan dan kesejahteraan warga sekolah berkenaan yang terdiri daripada 480 murid dan 38 guru.

Ikhtiar MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk memacu pembangunan dan memperkasa kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai program seperti Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.

Semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi memperhebat Ikhtiar MADANI dengan meningkatkan perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat demi transformasi menyeluruh.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs) Dr Ammar Hassan berkata peruntukan RM1 bilion menerusi Belanjawan 2026 disifatkan sebagai "hadiah besar" selain mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat di negara ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan