KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mencatatkan pencapaian signifikan dalam usaha memperkukuh sektor air dan tenaga negara bagi tempoh 2024 hingga 2025.
Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pencapaian memberangsangkan itu dicapai hasil kerjasama strategik pelbagai agensi berkaitan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan penduduk, keselamatan infrastruktur serta agenda kemampanan negara.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata dalam sektor air, pelaksanaan Skim Pelabelan Kecekapan Produk Air (WEPLS) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjaya menjimatkan sehingga 85 peratus penggunaan air.
Beliau berkata Indah Water Konsortium (IWK) merekodkan pengoperasian lebih 7,000 loji rawatan kumbahan dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus, selain melaksanakan program pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta penggunaan tenaga solar di loji rawatan kumbahan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang memberi perlindungan kepada 1.77 juta penduduk, selain menjalankan pemuliharaan dan pembangunan sungai di seluruh negara,” katanya.
Hantaran berkenaan turut disertakan dua infografik yang memperincikan pencapaian sektor air dan tenaga bagi tempoh tersebut.
Fadillah berkata Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membangunkan 21 loji rawatan air berkapasiti 2,081 juta liter sehari, selain menyiapkan Projek Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 juta liter sehari dengan kos RM4.2 bilion.
Bagi sektor tenaga, beliau berkata pencapaian utama melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan MyPOWER, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Pembaharuan Pasaran Elektrik Malaysia.
SEDA merekodkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 3,409.64 megawatt, manakala ST melaksanakan Program Solar Skala Besar 5+ dengan kapasiti 1,975 megawatt serta mengeksport 50 megawatt elektrik hijau ke Singapura.
Prestasi sektor tenaga turut ditunjukkan melalui penurunan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) kepada 37.36 minit.
Di peringkat serantau, Fadillah berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 mencatatkan pencapaian penting menerusi pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026-2035 serta pemeteraian beberapa perjanjian berkaitan Grid Tenaga ASEAN.
“Secara keseluruhan, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan air dan tenaga negara selaras dengan pelaksanaan AIR2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Usaha ini secara langsung menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih 2050 demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial