WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Melaka Perkukuh Agenda Tenaga Hijau, Laksana Projek Solar Di Bumbung Parkir UTC

29/12/2025 08:30 PM

MELAKA, 29 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka terus mempergiat usaha memperkasakan agenda perubahan iklim dan kelestarian tenaga, dengan melaksanakan projek pemasangan panel solar di bumbung parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata langkah itu, bersifat strategik bagi memaksimumkan penggunaan ruang sedia ada untuk penjanaan tenaga boleh baharu serta penjimatan tenaga elektrik.

“Usaha ini juga merupakan kesinambungan daripada pemasangan panel solar di bumbung UTC Melaka sebelum ini, dengan pendekatan lebih progresif apabila bumbung parkir turut dimanfaatkan.

“Inisiatif ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada peluasan penggunaan teknologi hijau khususnya di bangunan kerajaan di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penandatanganan Dokumen Usahasama antara Taha Cahaya Sdn Bhd, Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bagi Projek Solar Integrated Carpark Bangunan UTC Melaka.

Rais berkata pelaksanaan projek itu, sekali gus menjadi projek pertama seumpamanya melibatkan bumbung parkir milik kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberikan peranan eksklusif kepada PTHM bagi melaksanakan dan menyelaras semua inisiatif berkaitan teknologi hijau melibatkan aset dan bangunan kerajaan negeri, termasuk kerjasama strategik bersama pemain industri swasta.

Rais berkata setakat ini, PTHM dengan kerjasama rakan industri telah memasang sebanyak 114 tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kawasan parkir, selain memperluas inisiatif tenaga solar dalam sektor perumahan melalui kerjasama dengan syarikat swasta, termasuk Skim Solar Perumahan Melaka (SolarMEL).

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus menggalakkan penerokaan ruang berpotensi di bangunan kerajaan bagi tujuan tenaga hijau, namun pelaksanaannya tertakluk kepada piawaian dan syarat ditetapkan, selain beberapa projek berimpak tinggi sedang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kita menetapkan sasaran yang realistik dan berperingkat. Dengan kerjasama rakan strategik, inisiatif ini diyakini mampu memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara negeri peneraju teknologi hijau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan