WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program UniSZA Bright Bantu Pelajar B40 Lanjutkan Pengajian Peringkat Tertinggi

29/12/2025 06:37 PM

KUALA NERUS, 29 Dis (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin  (UniSZA) melancarkan Program UniSZA BRIGHT bagi memberi pelajar B40 peluang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata menerusi program itu pihak universiti bekerjasama dengan rakan industri untuk mengumpul dan menyalurkan wang biasiswa kepada pelajar terpilih.

Beliau berkata untuk permulaan, dana sebanyak RM300,000 berjaya dikumpul dan lima pelajar akan dipilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang antaranya Ekonomi Islam, Kewangan Islam, Pentadbiran Muamalat, Perbankan Islam, Pengurusan Halal dan Perancangan Kewangan Islam serta Pengurusan Kekayaan.

"Program ini julung kali diperkenalkan oleh UniSZA bagi memberikan peluang kepada pelajar prasiswazah terutama daripada golongan B40 melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Setakat ini kita telah berjaya mendapatkan RM300,000 dana daripada syarikat dan akan digunakan untuk menaja dua pelajar di peringkat PhD dan tiga peringkat sarjana,” katanya pada Majlis Pelancaran Program UniSZA BRIGHT di sini, hari ini.

Katanya melalui program tersebut penerima layak menerima pembiayaan sehingga RM50,000 bagi Sarjana dan RM75,000 bagi PhD, iaitu meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, geran penyelidikan serta penerbitan.

Fadzli berkata program UniSZA BRIGHT bukan sekadar menyediakan sokongan kewangan tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem pascasiswazah yang mampan, berimpak tinggi dan berterusan.

Selain itu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul RM1 juta dana pada akhir tahun depan bagi membiayai lebih ramai pelajar dalam bidang berlainan seperti perubatan dan undang-undang.

"Kita sedang mempergiat usaha dan kerjasama dengan rakan industri bagi mendapatkan lebih banyak dana untuk memperluas inisiatif ini.

"Permohonan untuk program ini dibuka pada 1 Jan 2026 dan akan ditutup pada 15 Feb tahun sama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan