WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Semangat Kebersamaan, Kerjasama Kekuatan Kerajaan MADANI - Anwar

07/01/2026 03:34 AM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI yang kukuh dibangunkan berasaskan semangat kebersamaan dan kerjasama antara parti tanpa sebarang sikap mendabik dada, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kekuatan kerajaan juga terletak pada kesepakatan semua komponen dalam kerajaan yang sentiasa berganding bahu dan bergerak seiring bagi melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Perlu laksanakan program dengan lebih baik dan tingkatkan usaha lebih bersunguh-sungguh seperti membantu anak-anak dalam aspek teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta bidang baharu menerusi teras akidah dan akhlak baik.

“Bayangkan setahun atau dua tahun lagi, Malaysia akan berubah wajahnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI Bersama Diaspora Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini pada 7.13 malam waktu tempatan (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia).

Beliau berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari hingga 8 Jan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di Ankara.

Anwar berkata sejarah menunjukkan bahawa kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, tamadun dan masyarakat sebahagian besarnya berdasarkan kekuatan nilai, keyakinan dan komitmen kolektif mereka terhadap pembinaan negara.

“Negara bangkit dan jatuh. Bangsa bangkit dan jatuh. Tamadun bangkit dan jatuh, ia bangkit terutamanya kerana komitmen, keyakinan, idealisme dan semangat untuk membina sebuah negara dan memastikan kejayaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kemerosotan sesebuah negara lazimnya bermula apabila rasuah dibiarkan berakar umbi dan kemiskinan diabaikan, sekali gus menghakis nilai moral dan perpaduan sosial.

Merujuk kepada ajaran Islam, Anwar berkata manusia diberikan pilihan yang jelas, iaitu berusaha untuk mencapai kecemerlangan atau membiarkan keruntuhan moral berlaku.

“Komitmen kita mesti berpaksikan dengan teguh kepada pilihan tersebut, dan pilihan itu ialah untuk menjadi baik, yang terbaik untuk diri kita, keluarga serta masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan