WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia-Turkiye Meterai Tujuh Dokumen Perkukuh Kerjasama Strategik Dua Hala

08/01/2026 03:25 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan hari ini menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang keutamaan.

Pemeteraian dokumen berkenaan disempurnakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Turkiye atas jemputan Erdogan yang bermula semalam. 

Antara dokumen yang ditandatangani ialah Deklarasi Bersama Mengenai Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLCSS).

Selain itu, Surat Niat (LoA) perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 turut dimeterai antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard.

Dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Turkiye memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).

Dalam bidang penyelidikan dan pemikiran strategik, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) memeterai MoU Kerjasama Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Kerjasama kewangan dan pelaburan Malaysia dan Turkiye pula diperkasakan menerusi pemeteraian MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank serta MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Türkiye.

Kedua-dua negara turut bertukar Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye.

Pemeteraian keseluruhan dokumen berkenaan mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Türkiye untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan