LABUAN, 7 Jan (Bernama) -- Ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di pulau ini lega kerana kewujudan pusat sehenti yang menawarkan keperluan sekolah menyelamatkan mereka daripada kesibukan membuat persiapan menjelang sesi pembukaan sekolah.
Pemilik EZ Advance Advance Resources Haryati Kahar, 45, berkata idea untuk memulakan perniagaan yang terletak di Labuan Times Square tercetus daripada pengalaman sendiri mencari keperluan sekolah anak apabila barangan diperlukan tiada atau sukar diperoleh di pulau itu.
“Setiap tahun, ramai ibu bapa menghadapi masalah sama seperti saiz kasut sukar dicari, pakaian seragam habis dijual dalam tempoh singkat dan aksesori aktiviti kokurikulum sukar diperoleh sehingga ada yang ke tanah besar.
“Itu menyebabkan saya sedar terdapat keperluan untuk mempunyai sebuah pusat sehenti yang dapat menawarkan semua kelengkapan di bawah satu bumbung,” katanya kepada Bernama hari ini.
Haryati berkata perniagaannya yang menyediakan kelengkapan seperti pakaian seragam dan sukan, kasut, beg, alat tulis serta keperluan aktiviti kokurikulum menerima pelanggan setiap hari sejak Disember lepas, terutamanya daripada ibu bapa yang mahu membuat persiapan awal.
Beliau berkata pusat sehenti itu bukan hanya menjimatkan masa ibu bapa, malah mengurangkan tekanan, terutamanya kepada keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah dalam membuat persiapan persekolahan.
“Ibu bapa tidak lagi perlu ke beberapa kedai untuk mencari apa yang diperlukan. Semuanya ada di satu tempat yang memudahkan mereka,” katanya.
Haryati berkata permintaan yang konsisten menyebabkan dirinya sentiasa memastikan semua stok mencukupi sepanjang tahun, terutamanya menjelang musim puncak bagi kemudahan semua keluarga di Labuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial