GUA MUSANG, 9 Jan (Bernama) -- Pengguna dan penduduk sekitar melahirkan rasa syukur apabila laluan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Lepan Jaya yang rosak teruk sebelum ini selesai dibaiki hari ini.
Seorang penduduk, Azhar Salleh, 59, berkata beliau lega akhirnya punca kesesakan trafik yang teruk itu selesai dibaik pulih dan jalan dapat dilalui dengan lebih selesa.
"Kita sememangnya mengharapkan pihak berwajib sentiasa memastikan laluan ini diselenggara dengan baik kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna.
"Hari ini aliran trafik berjalan dengan lancar dan tiada kesesakan, tetapi jalan sementara LTU pakej 3BC berhampiran Taman Wangi masih belum dibaiki. Kita harap tindakan sama dapat dilakukan seperti jalan berhampiran Kampung Lepan Jaya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Penguasa Unit Projek Khas (UPK) ECER 1 Zulkhairi Abdul Aziz berkata kerja-kerja pembaikian tidak dapat dilaksanakan lebih awal berikutan kekangan bekalan jenis bahan turapan yang tidak dapat diperoleh dalam kuantiti yang diperlukan.
"Hasil kerjasama antara pihak UPK ECER 1 Cawangan Jalan JKR bersama ketua masyarakat setempat, pihak kontraktor akhirnya berjaya mendapatkan bekalan daripada pembekal, memadai untuk digunakan di kawasan yang terlibat," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata kerja-kerja baik pulih jalan tersebut mengambil masa kira-kira empat jam selepas mula dilakukan kira-kira 2 pagi tadi.
"Pihak kontraktor bersetuju melaksanakan segera kerja pembaikan di kawasan Kampung Lepan Jaya yang menjadi punca kenderaan perlahan kerana jalan berlubang dan tidak diturap.
"Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan pembekal yang mengambil tindakan segera," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati aliran trafik di kawasan berkenaan lancar selepas bahagian permukaan jalan yang rosak diturap sepenuhnya.
Sebelum ini, media melaporkan, pengguna Jalan Gua Musang-Kuala Lipis mendakwa projek LTU pakej 3BC dan 3D yang tidak siap menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di laluan terbabit khususnya ketika musim cuti sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial