SHAH ALAM, 9 Jan (Bernama) -- Empat busana yang menyempurnakan setiap detik penting Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz kini dipamerkan untuk tatapan rakyat menerusi pameran khas ‘Dirgahayu Cinta’ di Muzium Sultan Alam Shah.
Busana istimewa yang dipakai ketika pertunangan, Istiadat Pernikahan Diraja, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja pada Oktober tahun lepas merupakan antara tarikan utama pameran khas yang diilhamkan sendiri oleh Tengku Amir Shah.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata pameran berkenaan bukan sekadar menonjolkan keindahan Istiadat Perkahwinan Diraja malah menjadi dokumentasi penting warisan dan sejarah negeri.
“Pameran ini dirangka bukan sekadar sebagai peragaan koleksi, malah sebagai satu wadah penghayatan terhadap nilai simbolik, kehalusan seni serta kesantunan adat istiadat diraja yang menjadi tunjang kepada jati diri serta identiti Selangor.
“Pameran ini turut membuka ruang kepada rakyat Selangor dan masyarakat Malaysia untuk mendekati institusi diraja secara lebih dekat, tersusun dan berinformasi, di samping menjadi satu usaha pendokumentasian warisan diraja agar khazanah adat serta nilai simbolisme dapat dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya dalam sembah ucapan pada majlis perasmian pameran khas itu hari ini.
Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini kemudian berkenan menyempurnakan pameran khas 'Dirgahayu Cinta’ itu yang bermula 9 Jan lepas hingga 31 Mei ini.
Tema ‘Dirgahayu Cinta’ dipilih sebagai manifestasi doa dan harapan agar kasih sayang dan ikatan perkahwinan pasangan diraja itu sentiasa bersemi, berkekalan dan mekar sepanjang hayat.
Turut dipamerkan dokumen lafaz taklik dan koleksi gambar Istiadat Perkahwinan pasangan pengantin diraja itu.
Menurut Borhan, pameran khas itu pertama seumpamanya dianjurkan di muzium berkenaan dan bakal menjadi sebahagian daripada dokumentasi sejarah serta warisan negeri untuk jangka panjang.
“Sejak hampir setahun dibuka semula, Muzium Sultan Alam Shah telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan merekodkan kehadiran seramai 140,000 orang pelawat, terdiri daripada pelawat tempatan dan luar negara.
“Kita menjangkakan pameran khas ini akan meningkatkan lagi jumlah pengunjung terutama pada musim cuti sekolah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Pejabat Sultan Selangor, Pejabat Raja Muda Selangor, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Bandaraya Shah Alam serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pameran khas itu.
Dalam pada itu, Borhan berkata pihaknya turut merancang meneruskan pameran khas di muzium tersebut sempena sambutan 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kelak.
Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang pada 2 Okt 2025.
Istiadat Persandingan Diraja pula berlangsung dengan penuh adat istiadat di Balairung Seri, Istana Alam Shah, 22 Okt 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial