GENTING HIGHLANDS, 9 Jan (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) hari ini melancarkan kempen "CNY in the Sky" bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina 2026, yang menampilkan gabungan unik tradisi turun-temurun dan teknologi penceritaan digital futuristik.
Tumpuan utama sambutan tahun ini adalah penampilan julung kali filem yang membawa tema Tahun Baharu Cina 2026, khusus untuk menyemarakkan suasana perayaan menerusi naratif inovatif.
Filem berkenaan diinspirasikan oleh semangat perpaduan dan warisan budaya, yang mengetengahkan watak IP rasmi RWG, Tian Ma, membawa penonton mengembara di sekitar Resorts World Genting.
Penerbitan filem itu hasil kerjasama strategik dengan sebuah agensi yang pernah memenangi anugerah, Ampersand Advisory, diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Sandeep Joseph.
Seni visual dan naratif budaya yang bertujuan merapatkan jurang generasi itu diketengahkan oleh pengarah filem Chew Boon Wai, Pengarah Kreatif Ampersand Advisory Claudia Low, dan Ketua Perkhidmatan Kreatif Janice Kiew.
Turut menyokong penghasilan karya visual itu ialah Pengarah Urusan Aqina Group of Companies, Wesley Tan Seah Ging.
Genting SkyWorlds Immersive Studio menandakan satu pencapaian penting bagi RWG apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records untuk kategori tarikan imersif pada altitud tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan RWG dalam menyampaikan penceritaan kreatif dan pengalaman unik kepada pengunjung.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee berkata kempen "CNY in the Sky" bertujuan meraikan tradisi menerusi pengalaman yang bermakna dan berimpak.
“Tahun Baharu Cina berkisar tentang kebersamaan, mengimbau kenangan dan bersama-sama menuju masa hadapan dengan penuh harapan,” katanya pada majlis pelancaran itu.
Pengunjung Taman Tema Genting SkyWorlds berpeluang menikmati video imersif bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina di Studio Plaza, yang menampilkan visual memukau, penceritaan dan pameran perayaan bermula hari ini hingga 3 Mac 2026.
Selain filem itu, RWG turut memperkenalkan 'Tian Ma' sebagai maskot rasmi Tahun Baharu Cina 2026, yang juga ahli terbaharu keluarga Genting’s Highland Heroes (GHH).
Pemilihan itu juga bersempena dengan Tahun Kuda pada 2026, Tian Ma melambangkan kemajuan dan semangat untuk terus mara ke hadapan sejajar dengan tumpuan utama sambutan tahun ini.
Bagi peminat barangan eksklusif, koleksi edisi terhad Tian Ma akan ditawarkan kepada ahli Genting Rewards melalui penebusan mata dan pembelian.
Daripada aspek kulinari pula, RWG menyediakan pelbagai sajian perayaan, termasuk Makan Malam Sau Gong untuk rakan korporat dan perusahaan serta Makan Malam Hoi Gong yang melambangkan permulaan tahun yang makmur.
Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting (GICC) turut menawarkan pakej jamuan pork-free bermula dari RM2,880 untuk setiap meja 10 orang dan tempahan boleh dibuat hingga 31 Mac.
Setiap tempahan minimum lima meja bagi pakej GICC akan disertakan dengan lima deluxe room percuma di Hotel First World.
Untuk pengunjung yang menggemari hidangan bufet, Coffee Terrace akan menyajikan pelbagai pilihan gastronomi perayaan, manakala Old Friends Restaurant, Season, Genting Palace by Crockfords (tidak halal) dan restoran FUHU, yang menawarkan hidangan perayaan istimewa dari 16 Feb hingga 3 Mac.
Kemuncak kemeriahan perayaan diteruskan dengan acara kira detik malam Tahun Baharu Cina, "CNY in the Sky Prosperity Shows" serta pertandingan "Auspicious Grab & Win", yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pengunjung bertuah.
Elemen tradisional tetap menjadi keutamaan menerusi perarakan tarian singa, persembahan kebudayaan dan bazar, yang diadakan di Kuil Gua Chin Swee, selain Pasar Bunga RWG di SkyAvenue yang menawarkan pelbagai juadah terpilih, termasuk tart nanas dan durian.
Secara keseluruhan, "CNY in the Sky" 2026 menjanjikan pelbagai keseronokan melalui gabungan elemen moden dan tradisional, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan RWG sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial