WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kanak-kanak Empat Tahun Dikhuatiri Lemas Di Pantai Batu Rakit

09/01/2026 10:40 PM

KUALA NERUS, 9 Jan (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikhuatiri lemas di Pantai Batu Rakit, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus Azmi Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.43 petang, sebelum menggerakkan 11 anggota ke lokasi kejadian.

"Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 6.30 petang tadi ketika kanak-kanak berkenaan sedang bermain di tepi pantai bersama ibu saudaranya. Mangsa yang ingin membasuh kaki di gigi air dihanyutkan ombak sebelum hilang dan dipercayai lemas di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Azmi berkata operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan untuk mengesan mangsa.

"Anggota melaksanakan pencarian di permukaan air di sekitar pantai. Setakat ini operasi masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan