WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penurunan Kadar Pengangguran Bukti Pasaran Buruh, Ekonomi Negara Kukuh - Ramanan

10/01/2026 09:55 PM

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus pada November lepas, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun, membuktikan pasaran buruh negara berada pada landasan pemulihan dan pertumbuhan yang stabil, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata pencapaian itu turut mencerminkan ketahanan ekonomi negara yang semakin kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Penurunan kadar pengangguran ini disokong oleh peningkatan bilangan guna tenaga yang mencecah 17.09 juta orang, manakala nisbah guna tenaga kepada populasi meningkat kepada 68.8 peratus, menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia berjaya memasuki pasaran pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) turut kekal kukuh pada 70.9 peratus, mencerminkan keyakinan rakyat terhadap prospek ekonomi negara serta keupayaan pasaran buruh untuk menyediakan peluang pekerjaan yang stabil dan berkualiti.

“Penyertaan tenaga buruh yang tinggi ini menjadi petunjuk jelas bahawa asas ekonomi negara berada dalam keadaan yang sihat dan berdaya tahan,” katanya.

Ramanan berkata komposisi guna tenaga juga menunjukkan asas pasaran buruh yang stabil, dengan kategori pekerja bergaji merangkumi 74.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga, sekali gus menandakan peningkatan pekerjaan formal dan perlindungan sosial yang lebih baik kepada pekerja.

“Statistik positif ini bukanlah titik penamat, sebaliknya menjadi pemangkin untuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh pasaran buruh Malaysia selaras dengan keperluan industri semasa serta bersifat future-ready bagi memenuhi tuntutan masa hadapan dan memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KESUMA di bawah kerangka Ekonomi MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, gaji yang bermaruah dan munasabah serta perlindungan pekerja yang menyeluruh.

Antara inisiatif itu termasuk pemerkasaan ekosistem kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran, pelaksanaan dasar gaji progresif serta agenda pekerjaan berkualiti, selain pengukuhan perlindungan sosial pekerja.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai adalah inklusif, mampan dan berteraskan kebajikan rakyat supaya tiada golongan yang tercicir.

“Saya juga telah mengarahkan KESUMA untuk terus memperkukuh agenda pekerjaan berkualiti melalui latihan, peningkatan kemahiran dan reformasi pasaran buruh agar pertumbuhan ekonomi negara benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, lestari dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan