SEPANG, 11 Jan (Bernama) -- Tayar belakang sebelah kiri sebuah lori jongket dikenal pasti meletup dan terpelanting sebelum menimpa sebuah kereta di Jalan Kajang-Puchong, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata kejadian pada 8 malam itu berlaku ketika lori terbabit dalam perjalanan dari Kajang ke Puchong, Selangor, dan kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan awal mendapati tayar lori itu terpelanting ke bawah jejambat dan menimpa bumbung bahagian belakang sebuah kereta Proton Satria Neo berwarna hitam. Ia hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu sejurus kemalangan berlaku.
Norhizam berkata kedua-dua pemandu berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu tampil ke IPD Sepang membuat laporan polis.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Sakela Ramli di talian 019-558 8221 atau 03-8777 4264.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial