WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APMM Selangor Patahkan Cubaan Seludup 27 PATI Di Sungai Besar

11/01/2026 01:20 PM

PELABUHAN KLANG, 11 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 27 pendatang asing tanpa izin (PATI), selepas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C, dipintas di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam awal pagi semalam. 

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan susulan kejayaan menahan sebuah VNT kelas B di perairan sama pada 5 Jan lepas.

Beliau berkata pada 10 Jan kira-kira 12.35 tengah malam, APMM mengesan sebuah VNT sedang bergerak masuk ke muara Sungai Besar sebelum tekong bertindak agresif dan enggan berhenti ketika cuba dipintas, sehingga berlaku pergelutan.

“Tekong terbabit kemudian terjun ke laut untuk melarikan diri namun berjaya ditahan, manakala vesel berkenaan tersangkut kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Besar sekitar pukul 1 pagi akibat air surut,” katanya dalam sidang media di Pejabat APMM Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seramai 30 individu berada di atas vesel berkenaan, terdiri daripada tiga kru dan 27 PATI warga Indonesia, iaitu 20 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 25 hingga 70 tahun, yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.

Abdul Muhaimin berkata sindiket berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi setiap PATI, dengan kebanyakannya berasal dari beberapa lokasi di Indonesia termasuk Lombok dan Medan, selain mengubah modus operandi daripada bot laju kepada bot nelayan.

Beliau berkata kesemua suspek bersama vesel ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Perikanan 1985.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau melaporkan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan