GUA MUSANG, 14 Jan (Bernama) -- Jenazah Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pengangkutan dan pembekalan bahan api Nik Razizi Nik Rahim yang maut dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam, telah dituntut keluarga hari ini.
Jenazah dituntut pada 11.45 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang selepas proses bedah siasat, sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian di Kampung Banggol, Pengkalan Chepa selepas solat asar.
Adik ipar mangsa Mukhriz Hassan, 48, berkata Nik Razizi, 55, sering berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja namun jarang menaiki kereta.
"Biasanya arwah mengambil penerbangan terus ke sana. Kami reda dengan ketentuan Allah kerana telah kehilangan seorang abang yang sangat baik dengan ahli keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Terdahulu, proses bedah siasat ke atas Nik Razizi mengambil masa hampir tiga jam sebelum pengurusan mayat selesai kira-kira 11.30 pagi.
Proses bedah siasat seorang lagi mangsa iaitu Nik Azmi Nik Othman, 47, sedang berjalan dan dijangka selesai selepas solat zuhur.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari semalam, tiga lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah termasuk seorang wanita dalam kemalangan di Kampung Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tiga mangsa yag maut adalah Nik Razizi, Nik Azmi dan Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial