WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Letupan Universiti: Mayat Pelajar Praktikal Dituntut Keluarga

13/01/2026 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Mayat pelajar praktikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang maut dalam kejadian letupan gas penyaman udara di HELP University, Bukit Damansara, semalam telah dituntut oleh keluarganya hari ini. 

Keluarga mangsa hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2.45 petang sebelum meninggalkan kawasan itu pada 3.55 petang.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR Prof Chang Yoong Choon turut hadir untuk bertemu keluarga mangsa. 

Chang yang mewakili keluarga mangsa berkata keluarga pelajar itu berterima kasih atas liputan media, bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi pengebumian. 

“Ahli keluarga tidak memberikan kebenaran kepada saya untuk mendedahkan lokasi pengebumian. Jadi bagi pihak universiti, sebahagian pengurusan universiti bersama beberapa rakan baiknya akan memberikan  penghormatan terakhir kepada pelajar itu semasa pengebumian,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik, HKL hari ini.

Dalam kejadian pada 11.40 pagi semalam, seorang maut, manakala sembilan cedera termasuk empat pelajar dalam kejadian letupan gas penyaman udara di Help University.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Soo Yu Juan, berusia 24 tahun.  

Mangsa ialah pelajar tahun tiga Kursus Kejuruteraan Mekanikal dan sepatutnya menamatkan latihan industrinya pada Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan