WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, AS Teroka Kerjasama Teknologi Pertanian Moden

15/01/2026 10:55 AM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berpotensi memperluas kerjasama strategik dalam teknologi pertanian dan pembangunan agromakanan.

Perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan delegasi AS diketuai Under Secretary for Trade and Foreign Agricultural Affairs dari Jabatan Pertanian AS (USDA) Luke Lindberg, semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perbincangan kedua-dua pihak menumpukan kepada potensi peluasan perdagangan pertanian dua hala serta pemerkasaan kerjasama teknikal dan pelaburan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

"Antara bidang diberi penekanan termasuk penggunaan mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih serta penerapan teknologi Internet of Things (IoT)," menurut kenyataan KPKM.

KPKM turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Jabatan Pertanian AS (USDA) dalam usaha memodenkan pengeluaran jagung bijirin bagi kegunaan makanan ternakan, di samping memperkukuh keupayaan pengeluaran sektor agromakanan negara melalui penerapan teknologi moden.

KPKM memaklumkan mesyuarat itu turut membincangkan lawatan kerja pegawai KPKM ke AS yang melibatkan penyertaan wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian dari 17 hingga 24 Jan ini.

Menurut KPKM, lawatan itu bertujuan mempertingkat kerjasama kedua-dua negara dalam aspek sanitari dan fitosanitari.

KPKM memaklumkan hasil perdagangan pertanian Malaysia dan AS mencecah RM14.68 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.

Kunjungan hormat delegasi AS semalam bersempena misi perdagangan AS ke Malaysia dari 14 hingga 15 Jan, yang turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Seri Norazman Ayob dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan