Oleh K. Naveen Prabu
ABU DHABI, 16 Jan (Bernama) -- Komuniti perniagaan terus melihat Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan yang terbaik di rantau ini, menurut Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).
Pengarah Sekretariat Antarabangsa ABAC, Antonio Basilio berkata perniagaan serantau berpendapat Malaysia menawarkan tempat yang selamat dan menarik untuk melabur, dengan kestabilan sebagai faktor utama tarikannya.
“Malaysia dianggap sebagai salah satu destinasi utama untuk pelaburan memandangkan persekitaran makroekonominya yang stabil, dasar dan peraturan yang konsisten, infrastruktur yang kukuh,” katanya kepada Bernama semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi 2026.
Malaysia juga menawarkan insentif pelaburan yang memikat termasuk pengecualian cukai, yang menyumbang secara positif kepada sentimen pelabur.
"Secara keseluruhan, ia membentangkan persekitaran yang sangat positif kepada pelabur. Mereka berasa selamat dan tahu bahawa sumber serta peraturan sudah sedia ada. Yang paling penting, ahli perniagaan menghargai kestabilan negara ini," katanya.
Bagaimanapun, Basilio menyatakan bahawa perniagaan yang beroperasi di Malaysia telah menekankan cabaran kekurangan bakat khusus sebagai kebimbangan mereka.
"Salah satu perkara utama yang saya dengar ialah perniagaan kadangkala memerlukan kemahiran atau bakat khusus, dan mereka mendapati mungkin terdapat kekurangan kemahiran ini di Malaysia," katanya sambil menambah bahawa jurang itu amat ketara dalam peranan teknikal dan kepakaran.
Basilio ketika mengulas mengenai bagaimana Malaysia boleh kekal berdaya saing dalam ASEAN dan rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang lebih luas, menjelaskan usaha menangani jurang kemahiran melalui pendidikan adalah penting.
“Bagi menangani cabaran utama ini, lebih banyak sumber perlu diterapkan ke dalam pendidikan, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau subjek STEM.
"Saya fikir ini sedang dibuat dan ia akhirnya, akan menangani kebimbangan tersebut." katanya.
Melihat ke hadapan, beliau berkata Malaysia mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam APEC, memetik sokongannya yang telah lama wujud bagi merapatkan integrasi ekonomi.
"Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat integrasi ekonomi yang lebih rapat. Itulah sebabnya negara ini telah menandatangani sekitar 17 perjanjian perdagangan," katanya.
Mengenai kedudukan Malaysia dalam ASEAN, beliau memberitahu Singapura sering dilihat sebagai hab kewangan, Indonesia pula memiliki kelebihan sebagai populasi terbesar di rantau ini, manakala, Malaysia menonjol dengan kekuatan ekonomi yang seimbang.
"Dari segi pendapatan per kapita dan sebagai lokasi untuk memberi perkhidmatan kepada negara lain di rantau ini, Malaysia adalah destinasi terbaik," katanya, sambil menambah bahawa prestasi pelancongan negara yang mantap seterusnya telah mencerminkan daya tarikannya kepada pelabur dan perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial